Selimut Tampung Seribu
1972 – aku dipilih oleh Yayasan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia. Catatan ini mengenang kembali bekalan ibu dalam perantauanku. Satu item yang aku simpan sehingga sekarang ialah sehelai selimut ‘tampung seribu’.
Padaku selimut ini adalah lambang kasih ibu. Berminggu-minggu beliau menjahit (menampung) cebisan kain pelbagai warna dan bentuk hingga menjadi sekeping selimut. Walaupun hanya menggunakan mesin jahit lama yang dipusing dengan tangan, jahitan ibu sangat halus. Kehangatan kasih ibu sangat terasa apabila selimut itu menyelubungi tubuhku dalam kedinginan malam di asrama SM Tengku Kudin yang terletak di Banjaran Titiwangsa, Pahang Barat.
Aku juga mendapat tahu bahawa selimut itu mempunyai tujuan ‘perlindungan’ kepada sesiapa yang memakainya. Masyarakat lama percaya bahawa setiap tempat itu mempunyai penghuni ‘mistik’ yang kadang-kala suka ‘mengusik / menyakat’ manusia. Bila tiba waktu malam makhluk ini akan datang dengan misi mereka namun misi tersebut akan terganggu kerana keasyikan mereka ‘menghitung’ tampalan pada selimut tampung seribu. Sudah tentu proses menghitung ini memakan masa sehinggalah ke subuh dan manusia yang diselubungi selimut berkenaan terlepas dari usikan makhluk halus itu.
Namun yang lebih penting padaku ialah hasil tangan ibuku ini .. yang mengingatkan aku akan kasih-sayangnya, pengorbanannya, segala nasihat dan pesanannya. Terima kasih ibu ..
Kasih ibu ....
ReplyDelete