Sunday, 18 March 2012

"Education is not preparation for life: Education is life itself."

1982  …. 2012
"Education is not preparation for life: Education is life itself."
 - John Dewey (1859-1952)

Aku mula berkhidmat sebagai  guru terlatih pada 04 Januari 1982. Penempatan pertamaku di sebuah perkampungan Bidayuh di kawasan Mongkos, Serian. Sejak hari pertama aku bertugas sehingga ke hari ini semangatku untuk mendidik tidak pernah pudar. Apa sahaja rintangan aku hadapi dengan tabah, kerenah murid-murid adalah kenangan dan pengalaman terindah dalam hidupku. Mengaplikasikan teori-teori yang dipelajari di Maktab Perguruan ke dalam bilik darjah  adalah cabaran yang kini sudah sebati, menjadi darah-dagingku.
Idealisme guru muda terbentuk oleh persekitarannya. Aku sungguh bertuah kerana telah mendapat bimbingan daripada gurubesar yang dedikasi. Cikgu Micheal James dan mendiang Cikgu Benny Latim merupakan mantan ketuaku di SK Engkeroh. Sikap mereka yang begitu prihatin terhadap anak didik  dan sekolah kujadikan teladan. 
Berkhidmat di sekolah pedalaman menuntut pengorbanan dan ketabahan yang tinggi serta kental. Kita juga perlu mengadaptasi diri dengan kehidupan dan persekitaran.  Aku tidak ada masalah hidup di pedalaman kerana aku pun berasal dari kampung.  Perkara yang mengusarkan aku pada awalnya ialah bahasa.  Alhamdulillah .. aku cepat belajar bahasa Bidayuh (dialek Sadong), mungkin kerana terpaksa. Masyarakat kampung (terutamanya golongan tua) enggan bercakap dengan aku menggunakan Bahasa Melayu.
Satu lagi perkara yang menjadi kegusaranku ialah kedudukan sekolah yang agak jauh dari kampung (lebih-kurang 20 minit berjalan kaki).  Aku tinggal di rumah guru yang agak usang dan adakalanya keseorangan. Rakan-rakan yang lain berasal dari kampung-kampung berdekatan, jadi kadang-kala mereka balik terutama sekali di pertengahan minggu.  Bila musim hujan dan banjir aku selalunya  tersangkut berminggu-minggu di Engkeroh akibat jalan terputus atau tanah runtuh. 
Di daerah pedalaman inilah aku melihat kepayahan hidup tetapi dihadapi dengan tabah dan penuh kesabaran. Makanan ‘simple’ menjadi begitu enak bila dikongsi bersama.  Bunyi gitar kapok / tong menjadi hiburan yang memadam kesepian. Duduk bersama teman-teman di laman rumah / pondok kampung  begitu santai tanpa perlu memikirkan ‘masalah dunia’.  Menghirup kopi ‘o’ panas selepas menyelam dan menembak ikan di sungai yang jernih sukar dibayangkan keenakannya.
Pelajaran pertama yang aku perolehi sebagai guru  ialah guru mesti bersikap pragmatik, mesti mempunyai kemahiran mengadaptasi diri dengan persekitaran. Kemahiran dan nilai-nilai yang terbentuk ketika menjadi guru pelatih mesti diterjemahkan dengan ‘smart’ apabila berada dalam situasi sebenar. Di antara perkara yang perlu diterjemah dengan bijak ialah :
i.   Kurikulum   ianya perlu disesuaikan dengan persekitaran murid.  1982 merupakan tahun yang menarik dalam konteks kurikulum di mana KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah)  dilaksanakan sepenuhnya.  Aku percaya bahawa KBSR telah memberi  peluang kepada guru untuk menggunakan sepenuhnya daya kreativiti dan inovasi dalam p & p. Ianya juga memberi ruang untuk penggunaan teknik, kaedah dan strategi baru .. keluar dari kepompong lama dan tradisional. Fokus kini beralih kepada murid / pelajar, guru berperanan sebagai pemudahcara. KBSR menepati kata-kata  John Dewey :
“When we look at early childhood classrooms today, we see children building language skills as they share snacks with classmates, learning important science concepts as they water and care for plants, and developing math skills as they cook up a special treat for lunch…”

No comments:

Post a Comment