Tuesday, 1 May 2012

Anekdot Sang Guru 4

Tentang basikal …
Aku mendapat berita seorang bekas pelajarku telah meninggal dunia .. kemalangan.  Arwah adalah muridku semasa aku menjadi guru sementara, ketika menunggu keputusan SPM. Ketika itu arwah berada dalam darjah 3.
Arwah rajin ke sekolah. Pakaian sekolahnya lusuh dan adakalanya ‘oversize’ .. baju pemberian orang, katanya. Dia agak gagap. Bekalan  air kosong dan ‘nasi aruk’. Kadangkala 'bandung' rebus. Tak pernah aku melihat dia membeli apa-apa makanan yang dijual di sekolah. Pencapaian akademiknya sederhana.
Keluarga arwah duduk di hujung kampung, menghuni rumah  yang agak kecil. Ayahnya berkebun, kadang-kala berjaja sayur-sayuran sekeliling kampung. Kenderaannya adalah sebuah basikal tua. Kehidupan mereka agak sukar ketika itu.
Suatu hari, semasa mata pelajaran lukisan aku menyuruh pelajar melukis apa-apa yang mereka suka (‘tajuk bebas’ -  kataku).  Aku lihat arwah terkial-kial melukis dengan pensel pendeknya. Bilaku tanya,
.. Kamil .. awak lukis apa?
.. lukis basikal .. cikgu , jawabnya. Arwah kelihatan sangat teruja. Tanpa diminta dia menjelaskan lagi ..
.. ini basikal yang saya nak beli untuk bapa, ganti basikal lamanya, jelasnya lagi.
Kata-katanya menyusuk perasaanku. Gambaran tentang kehidupannya melintas di mataku, betapa dia dapat ‘merasa’ hakikat sebuah basikal buruk yang menampung kehidupannya.
Masa berlalu begitu cepat. Aku jarang berjumpa arwah. Sekali-sekala berjumpa, arwah masih seorang periang dan masih gagap.  Kehidupannya  sederhana, sudah berkeluarga dan menetap di kampung isterinya.  Ketika berkesempatan bertemu , aku terlupa menanya .. sudah tak dia beli basikal untuk ayahnya?
Allah lebih menyayanginya, memanggilnya kembali dalam usia yang masih muda
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan melindungi keluarganya.

No comments:

Post a Comment