Tentang Olimpik .. apa yang aku ingat sejak 1976
Aku mula mengikuti Sukan Olimpik melalui siaran televisyen sejak 1976 (Montreal, Canada). Sebelum itu Sarawak belum ada siaran televisyen, tetapi aku bernasib baik kerana dipilih melanjutkan pelajaran ke Semenanjung Malaysia (1972) ditaja oleh Yayasan Sarawak. Oleh itu aku dapat mengikuti beberapa kejohanan sukan seperti Piala Dunia FIFA , Kejohanan Hoki Dunia , perlawanan-perlawanan tinju yang melibatkan Muhammad Ali dan lain-lainnya lebih awal daripada rakan-rakanku di Sarawak.
Olimpik 1976 mengingkatkan aku kepada Nadia Comenaci , ahli jimnastik yang mendapat ‘score’ 10 (penuh) dalam hampir setiap acara yang disertainya. Atlet seperti Alberto Juantorena (400 dan 800 meter) dan Bruce Jenner (dekatlon) masih kekal dalam ingatanku kerana pencapian mereka yang luarbiasa. Aku juga tidak lupa pemenang 100 meter ketika itu, Hasely Crawford yang mengenakan stoking panjang hingga ke lutut dan pemenang tempat kedua acara tersebut dan johan 200 meter bernama Don Quarry kerana rambut ala Afro nya. John Walker, pemenang 1500 meter yang berlari penuh bergaya juga masih dalam ingatan.
Hasely Crawford
John Walker
Olimpik 1980 diadakan di Moscow, USSR. Pesta sukan ini sangat mengecewakan aku kerana Malaysia memboikotnya. Rasa kecewa yang mendalam .. pasukan bolasepak Malaysia yang layak dan dianggap pasukan terbaik dalam sejarah bolasepak Malaysia tidak dapat menunjukkan kemampuan mereka di pentas dunia. Aku rasa skuad bolasepak ini mampu mencipta sejarah di Moscow.
Olimpik 1984 .. Los Angeles, USA dikuasai oleh Carl Lewis. Atlet ini memenangi 4 pingat emas. Olimpik ini juga mengingatkan aku kepada seorang atlet wanita Islam yang pertama memenangi pingat emas. Beliau ialah Nawal Al Mutawakil daripada Mahgribi. Kehebatan Sebastian Coe sebagai juara larian jarak sederhana juga menarik perhatian. Atlet ini menjadi orang penting dalam penganjuran Olimpik London 2012.
Carl Lewis
Olimpik 1988 Seoul, Korea sangat mengujakan aku kerana diadakan di Asia. Ben Johnson kekal dalam ingatanku kerana selepas memenangi 100 meter beliau didapati menggunakan steroid dan kemenangannya dibatalkan. Pingat emas 100 meter diberi kepada Carl Lewis. Anthony Nesti , pemenang acara renang 100 meter juga mencapai kemenangan yang luarbiasa kerana negaranya, Surinam tiadak mempunyai kolam renang. Agaknya beliau berlatih di sungai sahaja.
Padaku Olimpik memperlihatkan pelbagai kehebatan manusia. Mereka ini menjadi legenda di negara masing-masing. Dr. Jegathesan, Istiaq Mubarak, skuad bolasepak 1974 dan 1978 merupakan di antara ahli sukan legenda Malaysia. Pada zaman yang serba kekurangan itu Jegathesan yang ketika itu merupakan pelajar bidang kedoktoran Universiti Malaya
membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia. Berpuluh-puluh tahun rekod yang beliau cipta di Mexico City tidak dapat dipecahkan.
Teofilo Stevenson
Teofilo Stevenson seorang peninju daripada Cuba memenangi 3 pingat emas Olimpik (1972, 1976, 1980). Ketika itu pemenang pingat emas tinju Olimpik selalunya menjadi peninju professional yang berupaya memperolehi berjuta-juta dolar untuk setiap perlawanan. Di antara mereka ialah Muhammad Ali, Joe Frazier, George Foreman, Leon Spinks (sekadar menyebut beberapa nama) menjadi peninju professional yang terbilang dan kaya-raya. Namun Teofilo Stevenson enggan menjadi peninju professional kerana menurut beliau :
"What is one million dollars compared to the love of eight million Cubans?"
Begitu tinggi semangat patriotik Teofilo Stevenson. Wang dan kekayaan tidak penting, yang penting adalah maruah negaranya. Ramai pakar sukan tinju berpendapat sekiranya Teofilo menjadi peninju professional, beliau mungkin lebih hebat daripada Muhammad Ali.
Tahniah dan syabas buat Dtk Lee Chong Wei dan Pandarela Rinong (mudah-mudahan dapat anugerah Datuk). Anda berdua mencipta sejarah dalam bidang sukan !!
ReplyDelete