Tuesday, 4 November 2014

PENGURUSAN BILIK DARJAH 3

Pengurusan Bilik Darjah 3

Modifikasi Tingkah Laku

Mengikut Kamus Dewan  Edisi ke-4  modifikasi ertinya  proses (perbuatan atau tindakan) mengubah sedikit sesuatu (keadaan atau sifat) supaya sesuai dengan keperluan. Guru mengubah tingkah laku pelajar dari tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif.

Pengurusan bilik darjah adalah satu set aktiviti yang menggalakkan lahirnya tingkah laku  positif.

Cth: jadual tugas harian yang disediakan  dapat memupuk sikap tanggungjawab dan mendisiplinkan murid. Secara tak langsung murid akan melibatkan diri secara aktif mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Model Disiplin Asertif Canter

Model ini menekankan hubungan yang positif antara guru dan pelajar. Di mana guru menerangkan kehendak dan peraturan yang diingini kepada pelajar. Penerangan ini penting kerana setiap tingkah laku pelajar ada memberi kesan sama ada positif atau negatif. Dengan kata lain model ini mengutamakan kepentingan disiplin di dalam bilik darjah.

Matlamat utama model ini adalah berlandaskan kepentingan pematuhan pelajar di dalam bilik darjah supaya dapat membentuk satu suasana belajar yang kondusif serta berkesan untuk pembelajaran. Aspek pengurusan bilik darjah perlu dilakukan secara asertif  (berkeyakinan dan tegas) oleh itu guru perlu bertindak menjadi guru asertif.

Terdapat beberapa prinsip model yang dilaksanakan dalam model Canter:

•      Guru perlu memberi peneguhan terhadap tindakan pelajar dengan wajar.
•       Guru harus merangka sistem dendaan dan ganjaran yang boleh dijadikan rujukan murid mengenai tingkah laku yang baik dan buruk.

Pandangan Canter adalah untuk mengawal dan mengajar dengan berkesan, seseorang guru perlulah bersifat tegas. Mengikut disiplin Canter guru ada kuasa untuk menetapkan peraturan di dalam bilik darjah dan mengorganisasikan satu perjumpaan dengan pelajar untuk jelaskan peraturan yang perlu dipatuhi. Jika terdapat peraturan bilik darjah yang dilanggar, guru perlu mengambil tindakan bilik darjah dengan serta merta.

Model Akibat Logikal oleh Rudolf Dreikurs

Model ini menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Guru perlu mengenalpasti punca salah laku murid, disamping itu murid perlu dibimbing untuk memahami peraturan di dalam bilik darjah. 

Murid juga perlu dilatih untuk mendapatkan kawalan kendiri terhadap pengurusan disiplin bilik darjah. Secara keseluruhannya, murid dan guru bersama-sama memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi dapat diaplikasikan.

Tingkah laku bermasalah berpunca daripada motif-motif berikut:

• mendapatkan perhatian
• mencabar kuasa
• membalas dendam
• mempamerkan kekurangan

Cara komunikasi guru yang berkesan untuk menangani salah laku :

• berkomunikasi perkara yang positif
• galak peningkatan murid
• kenal pasti kelemahan murid
• belajar daripada kesilapan
• percaya kebolehan murid
• bekerjasama
• rasa bangga pencapaian murid
• optimis
• beri galakan dan motivasi

Terapi Realiti Glasser

Model Terapi Realiti ini diasaskan oleh William Glasser (ahli psikologi)  pada tahun 1950-an. Beliau telah banyak menulis serta mengemukakan pendapat mengenai isu-isu pendidikan dan disiplin. Buku pertama beliau bertajuk ‘Reality Theraphy: A New Approach to Psychiatry” yang memperkatakan tentang terapi realiti.

Asas utama kepada model ini ialah setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu berasaskan pilihan yang dibuat. Pilihan yang dibuat oleh individu pula berdasarkan keperluan-keperluan asas mereka. Menurut Glasser, masalah tingkah laku yang berlaku di dalam bilik darjah adalah akibat dari rasa bosan atau tidak puas hati dengan jangkaan guru di dalam bilik darjah, keadaan persekitaran yang menyebabkan murid gagal memenuhi keperluan asas mereka di sekolah. Antara keperluan asas murid ialah :

·         kasih sayang
·         mempunyai kuasa dan kawalan
·         kebebasan
·         keseronokan

Model terapi realiti yang merupakan satu teknik kauseling untuk membantu individu meneroka kemahuan diri, membuat refleksi tentang apa yang sedang dilakukan dan membuat perancangan tentang kehendak sebenar mereka pada masa akan datang. Melalui terapi realiti, guru dapat:

·         membantu murid kenal pasti akibat tingkah laku yang ditunjukkan.
·         pastikan akibat realiti atau dipilih oleh murid.
·         kemukakan pelan perancangan untuk membantu murid mengurus tingkah laku.
·         bertindak sebagai pembimbing murid.

Terapi realiti membantu murid mengenal realiti kehidupan dalam memenuhi keperluan mereka mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Kurikulum yang berkualiti :

·         akan meningkatkan mutu pendidikan
·         kurikulum ini bermula dengan perancangan yang berkesan, permulaan pengajaran yang memotivasikan murid, perbincangan yang berpusatkan murid dan beri peluang kepada murid untuk memahami dan meneroka apa yang diajar.

Kualiti pengajaran :

·         persekitaran bilik darjah yang tenang dan kondusif
·         guru perlu lebih sifat sebagai pembimbing bukan pengarah
·         tugasan-tugasan pengajaran dan pembelajaran perlu yang berkaitan dengan kehidupan   seharian murid
·         berikan galakan kepada murid untuk memberikan yang terbaik
·         beri peluang kepada murid untuk menilai kerja masing-masing dan memperbaikinya

Guru yang membimbing akan:

·         memahami murid
·         menyediakan aktiviti p&p yang menyeronokkan
·         berbincang dengan murid
·         menggalakkan murid meneroka p&p
·         menyediakan bahan bantu belajar yang berkesan
·         menunjukkan kaedah yang terbaik untuk mendapat hasil pembelajaran

Membina bilik darjah yang berkualiti :

·         tabiat - elakkan mengamal tabiat buruk,  ganti dengan tabiat yang boleh kekalkan hubungan baik
·         mesej- sampaikan mesej kepada murid tentang hasrat dan pendirian
·         bina hubungan dengan guru murid
·         peraturan kelas
·         elakkan daripada menggunakan kawalan luaran seperti mendenda, mengarah atau mengancam murid apabila timbul masalah
·         pengetahuan
·         kompentensi
·         kualiti
·         penilaian
·         kefahaman dan penggunaan   
            
Model Pengurusan Kelompok Kounin (1970)

Model pengurusan  kelompok kounin bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan guru yang teliti terhadap aktivit-aktiviti dalam bilik darjah. Ia mencadangkan teknik dan strategi yang proaktif bagi menggalakkan dan mengekalkan tingkah laku sosial dan akademik yang baik. Diperkenalkan supaya pelajar melibatkan diri dan mengurangkan ganguan dalam kelas dan membuktikan bahawa teknik atau pendekatan yang digunakan oleh guru lebih penting berbanding personaliti guru dalam aspek pengurusan bilik darjah.

Model ini memberi fokus kepada pencegahan disiplin dengan menggunakan strategi dan teknik untuk mengelakan kesalahan tingkah laku pelajar. Ia direka untuk mencegah masalah di peringkat permulaan. Kounin menyatakan pengurusan kelas  yang baik bergantung pada pengurusan kelas yang berkesan. Kajian ini telah menemukan istilah ‘ripple effect’.  Ripple effect ialah teguran dan tindakan guru terhadap pelajar yang melakukan kesalahan akan mempengaruhi  pelajar lain. Beliau menjelaskan guru yang efektif adalah guru yang menghalang dari berlakunya masalah pengurusan bilik darjah.

Teori Kounin :

 Kesedaran dan kepekaan (Withitness)

·         Kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi pergerakan dalam bilik darjah.
·         guru bertanggunjawab memerhatikan sikap pelajar dalam kelas.
·         guru mesti mengetahui perkara asas berkenaan murid.
( contoh: nama, hobi, kekuatan dan kelemahan)
·         Guru perlu menggunakan teknik non-verbal (bahasa badan).

Pertindanan (Overlapping) 

·         Menangani lebih daripada satu situasi dengan serentak  (pertindihan).
·         Guru boleh mengawal kelas dalam 2 situasi berbeza dalam satu masa.
Contoh: Mariam, teruskan dengan pembacaan awak, Azizah sila beri perhatian dan   jangan bercakap.

Kelicinan (Smoothness)

·         Guru memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya soalan atau member pendapat berkenaan dengan pengajaran.
·         Guru dapat menilai tahap pengajaran berdasarkan soalan dan komen yang diberikan.
·         Guru sebagai fasilitator semasa kerja berkumpulan dan memberi cadangan kepada pelajar jika diperlukan.

Momentum

·         Guru memulakan pengajaran yang menarik, lancar serta membuat rumusan di akhir pengajaran dengan berkesan.
·         Mengambil kira aspek minat, kebolehan dan perkembangan pelajar.
·         Menerangkan konsep terlebih dahulu supaya pelajar faham.

Kepekaan Kelompok/Kumpulan

·         Perhatian kumpulan (Group alerting)
·         Pelajar lain memberi perhatian semasa rakan memberi penerangan.
·         Menggalakkan akauntabiliti (Encouraging accountability)
·         Memberitahu pelajar bahawa mereka diperhatikan dan akan dinilai
·         Format penyertaan tinggi (High participation format)
·         Mentakrifkan tingkah laku pelajar apabila mereka tidak menjawab soalan guru secara langsung.

Masalah dan Halangan Pengurusan Bilik Darjah
 
Bilik darjah merupakan tempat yang paling penting proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana murid banyak menghabiskan masa di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Kemahiran guru dalam memanipulasi saiz dan ruang bilik darjah akan menjadikan ruang yang sedia ada relevan dan menarik untuk keperluan pelajar. Pengurusan bilik darjah merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ianya dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Namun terdapat beberapa masalah dan halangan yang sering mengganggu dalam pengurusan bilik darjah. Masalah dan halangan ini dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu masalah disiplin, tingkah laku, komunikasi dan interaksi. Disamping itu terdapat beberapa faktor yang menjadi halangan kepada pengurusan disiplin bilik darjah iaitu hubungan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, keadaan persekitaran bilik darjah, masalah perkembangan murid dan salah laku yang tidak dijangka.

Berikut pecahan atau huraian tentang masalah disiplin yang bersifat disruptif seperti tidak memberikan perhatian, menganggu rakan, bercakap, makan dan tidur didalam kelas, keluar dari bilik darjah tanpa kebenaran, lewat masuk kelas, tidak membawa buku latihan/teks, menunjukkan sikap biadap terhadap guru, membuli, melepak, berlari, menjerit di koridor. Termasuk juga dalam kategori kesalahan disiplin ialah masalah masalah kekemasan diri contohnya tidak memakai lencana, tanda nama, stoking, kuku panjang, warna rambut dan pelajar lelaki berambut panjang.

Selain dari disiplin, soal tingkah laku di dalam bilik darjah juga merupakan masalah dan halangan dalam pengurusan bilik darjah. Menurut Shrigley (Levin & Nolan, 2004) apa jua tingkah laku yang mengganggu pengajaran guru atau bersifat tidak selamat dari segi psikologi mahupun fizikal ditakrifkan sebagai tingkah laku distruptif. Justeru perbuatan seperti kurang memberikan perhatian, hiperaktif, pendiam, sensitif, apati (tidak kisah kepada arahan guru), sikap melengahkan dan sambil lewa, gemar bercakap, menganggu rakan, membuli, berbohong, menipu, menimbulkan kekecohan dalam bilik darjah, kurang sopan, mencuri, merosakkan harta benda dan mudah marah dan agrasif. Manakala tingkah laku distruktif pula ialah permusuhan nyata, vandalisme, kumpulan liar, klik atau geng.

Masalah gangguan atau halangan dalam komunikasi antara pelajar dengan guru juga berlaku mungkin disebabkan suasana kelas yang bising menyebabkan pelajar sukar mendengar pelajaran yang disampaikan. Terdapat juga pelajar yang kurang berminat terhadap sesuatu subjek telah menyebabkan pelajar itu mempunyai pemikiran tertutup terhadap subjek tersebut. Pelajar enggan mendengar pengajaran guru dan mengehadkan aktiviti pembelajaran terhadap subjek tersebut. Contohnya pelajar itu tidak suka kepasa subjek Sains. Guru sains mempunyai masalah kerana terpaksa menanamkan minat kepada setiap pelajar untuk mendapatkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Selain itu masalah bahasa juga menyumbang masalah komunikasi. Contohnya seorang guru Melayu mengajar di sekolah kebanyakan pelajarnya majoriti Cina atau India. Pelajar tersebut tidak dapat memahami bahasa Melayu yang digunakan oleh guru dengan sepenuhnya.

Pembelajaran dan pengajaran juga tidak dapat berlangsung dengan efektif sekiranya terdapat masalah dalam cara mewujudkan interaksi yang berkesan dalam bilik darjah. Interaksi boleh berlaku antara objek atau organisma yang tidak bertindak balas. Sebagai contoh, bila guru berkomunikasi secara lisan atau melalui media, interaksi berlaku. Seorang pelajar berkomunikasi bersama guru manakala dia hanya berinteraksi dengan sebuah komputer. Pelajar mengalami masalah takut untuk berbincang dalam bilik darjah atau pun mereka tidak berminat dengan topik perbincangan guru. Selain itu guru tidak dapat memadankan bahan – bahan pelajaran yang sesuai dengan umur kognitif para pelajar. Guru terlalu mengikut sukatan pelajaran dan mengabaikan tahap pembelajaran Masteri. Ini ialah kerana bahan pembelajaran terlalu sukar, pelajar tidak dapat menyertai dalam proses interaksi yang efektif dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Masalah lain yang dihadapi di dalam bilik darjah ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus, kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu, mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, bilangan pelajar yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada masalah di dalam bilik darjah. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan pelajar terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi, pelajar yang tertinggal atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu rakan dan bergerak ke sana sini.

Kesimpulan

Pengurusan bilik darjah yang baik tidak akan berlaku tanpa perancangan. Setiap aktiviti pengajaran akan berlaku dengan lancar  sekiranya bilik darjah mempunyai aktiviti pembelajaran yang tidak ada gangguan tingkah laku yang tidak menyenangkan. Jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. 





No comments:

Post a Comment