Tuesday 31 January 2012

Durian ..

Durian istimewa
Semalam Ali datang ke rumah menghantar buah durian. Durian ini durian istimewa. Kata isteriku jarang sekali dia dapat menikmati durian seenak yang dibawa dari kampung. Memang enak dan lunak kerana itu durian daripada pokok ‘original’. Tapi padaku durian ini memberi makna dan rasa kemanusiaan yang begitu dalam.
Penghantaran ini sudah menjadi rutin pabila tiba musim durian. Saudara Ali dan keluarganya telahku anggap seperti keluargaku sendiri. Ketika aku bertugas di Kpg Engkeroh, Mongkos, merekalah tempat aku berteduh, tempat aku mengadu kesusahan dan kepayahan. Senapang patah milik ayah Ali selalu ku pinjam menjadi teman (menghilangkan rasa takut) bila aku bersendirian di quartersku. Mereka mengajarku pelbagai ilmu kehidupan yang memungkinkan aku bertahan di daerah pedalaman ini selama 5 tahun. Budi mereka terlalu banyak dan tak mungkin terbalas olehku.
Hubungan ini kekal sehingga sekarang. Bahagianku di kampung masih dihantar ke rumah. Ketika di Engkeroh aku sudah dianggap ‘bala ratus’ ( mungkin sama ertinya dengan ‘parmanent resident’) dan kedudukan itu kekal hingga sekarang. Oleh itu aku masih mendapat bahagian jika ada pembahagian durian ‘pusaka’ (durian ratus). Seolah-olah sudah menjadi ‘tugas’ saudara Ali untuk menghantar bahagianku setiap tahun, kerana kebetulan kami tinggal berdekatan di Kota Samarahan.
Begitulah sikap orang kampung , hubungan persaudaraan kekal selama-lamanya. Insyaallah .. jika ada kelapangan aku akan bawa anak-anakku melawat saudara-saudaraku di Engkeroh. Kelainan adat dan agama bukan penghalang.

No comments:

Post a Comment