Thursday 25 August 2011

Wednesday 24 August 2011

Latihan Mengajar 2

Latihan mengajar 2
Aku ditempatkan di SK Encik Buyung, Kuching untuk latihan mengajar ke 2. Seronok juga dapat mencari pengalaman mengajar di sekolah bandar. Kali ini kami tidak di bekalkan dengan peralatan memasak. Aku dan beberapa orang rakan menumpang  di rumah Azizah (teman sekumpulan). Konon-kononnya menyewa, tetapi tuan rumah enggan menerima sewa. Makan-minum kami dijaga dengan baik. Kalau ada tingkah-laku kami yang ‘pelik’ ibu Azizah tidak teragak-agak menegur. Budi baik Azizah sekeluarga akan kukenang ke akhir hayat dan hanya Allah sahaja dapat membalasnya.
Guru-guru di SK Encik Buyung sangat baik dan mesra, kebanyakannya guru-guru veteran. Tetapi kadang-kala aku terasa terasing kerana topik perbualan mereka agak ‘asing’ seperti berbual tentang anak, rumah , kereta dan perkara-perkara yang aku tidak begitu mengerti ketika itu.
Tempat pertemuan aku dan rakan-rakan ialah di Panggung Rex (kini Medan Pelita). Ketika itu terdapat tempat makan dan minum di tepi panggung , ada satey Rex, cucur udang Rex dan sebagainya. Makanan berjenama ‘Rex’ sehingga kini menjadi daya tarikan di Kuching. Ada satu peristiwa yang tidak dapat kulupakan  dan setiap kali aku lalu di Medan Pelita (bersebelahan Harbour View Hotel) kejadian itu pasti terbayang . Suatu hari kami lepak di Rex, datang menaiki kereta Volkswagen yang dipinjam daripada kakak seorang teman. Setelah selesai makan, kereta itu buat hal, tidak mahu ‘hidup’, terpaksa ditolak. ‘Berpeluh-belir’ kami menolak kereta yang berat itu. Kata rakan-rakanku , kereta itu ‘belukuk besi’. Kereta hidup setelah tiga kali kami ‘tawaf’ mengelilingi Rex.  Selepas itu ‘jerak’ meminjam Volkswagen.
Latihan mengajar kini dikenali sebagai 'praktikum'. Ia memberi peluang untuk guru pelatih mempraktikkan teori dalam situasi p & p sebenar. Kepada guru pelatih .. gunakan peluang ini untuk menimba pengalaman supaya anda lebih bersedia mengharungi cabaran.

Tuesday 23 August 2011

Latihan Mengajar 1980

Latihan mengajar   1
Aku ditempatkan di SMK Kelaka, Roban untuk latihan mengajar pertama. Jaraknya tidak begitu jauh daripada MPR tetapi jalanraya ketika itu sangat teruk. Kalau hujan jalan menjadi becak dan licin, kalau panas ianya berdebu. Jalanraya tidak diturap, hanya batu krikel dan tanah merah. Sebelum ke destinasi kami diminta mengambil keperluan seperti dapur minyak (dapur semawar), lampu gas, periok dan alat kelengkapan memasak, pinggan mangkok dan sebagainya. Semuanya dimuatkan ke dalam bas MPR. Sesampainya di Kampung Melayu Roban, kami kena pikul peralatan-peralatan itu ke rumah sewa. Rumah sewa telah diurus oleh pihak MPR. Rumah itu rumah kampung, bahagian dapur masih menggunakan atap daun.  Terletak di hujung kampung berhampiran sebuah tokong.  Mandi dan mencuci pakaian di sungai berdekatan. Bekalan air bersih diperolehi daripada paip awam berdekatan dengan rumah ketua kampung. Terdapat tangki dan tong besar di bahagian depan dan belakang rumah untuk menakung air hujan.
Perjalanan ke sekolah mengambil masa lebih-kurang 15 minit. Berjalan di atas ‘simen slap’ yang tidak rata. Ketika itu kasut yang dipakai  ala ‘John Travolta’. Kasut itu menjadikan perjalanan semakin sukar kerana tumitnya yang agak tinggi. Setelah 2 , 3 hari timbul sakit kelengkang  , akhirnya kasut ditinggalkan di sekolah.
Layanan guru di sekolah tersebut sangat mesra. Di antara yang aku ingat ialah Cikgu Anwar Khan ( pindah ke Shell, Miri) dan Cikgu Hazemi ( sekarang Pengetua). Namun dari segi fizikalnya, SMK Kelaka ketika itu agak uzur . Banyak tingkap yang pecah,  papan tulis rosak, kerusi dan meja patah. Dalam kelas yang aku ajar (Tingkatan 2) ada murid yang terpaksa duduk atas tin biskut. Terdapat lobang besar pada dinding di mana aku dapat berbual dengan guru kelas bersebelahan.  Pelajar datang dari kawasan sekitar seperti Kabong, Sesang, Nyabor,Alit  dan lain-lain.
Semasa hujung minggu aku ambil kesempatan melawat ke kampung-kampung sekitar.   Di Kampung  Alit aku bermalam di kuarters guru dan mengikut kawan-kawan memukat.  Seronok dapat makan ikan segar dan berkelah di pantai.
Kalau ada keramaian di kampung-kampung berdekatan pasti aku dan rakan-rakan akan pergi. Kalau ada pesta gendang kami akan ‘menopeng’. Kami bergaul mesra dengan penduduk kampung. Kalau ada apa-apa keperluan kami minta tolong jiran-jiran. Pernah seorang rakan meminta bantuan untuk mencari ulat gonggok (untuk mengajar sains), hampir setengah baldi kecil ulat gonggok dia dapat !  Kebetulan pensyarah penyelia datang keesokan harinya dan dia kagum melihat ulat yang begitu banyak, seorang pelajar dapat seekor untuk kajian makmal.  
Baru-baru ini, dalam perjalanan ke Sibu sempat juga menjenguk Pekan Roban. Banyak yang telah berubah ...

Monday 22 August 2011

'Pendatang haram' dan 'fire drill' ..

‘Pendatang haram’ dan ‘fire drill’ ..
Ramai ‘senior’ kami ditempatkan sekitar Julau, Binatang dan Sarikei dalam tahun 1981. Apabila hari gaji, ramai yang menumpang tidur di asrama MPR. Mereka ini seperti PATI (pendatang tanpa izin). Tidak menjadi masalah bagi kami kerana mereka ini sudah bergaji, jadi mereka datang dengan makanan dan minuman. Pada satu malam pihak asrama mengadakan ‘fire drill’.  Apabila siren dibunyikan pada tengah malam itu, semua penghuni asrama kelam-kabut keluar ‘menyelamatkan diri’. Apabila ‘head count’ (masing-masing menyebut nombor mengikut giliran) dibuat , didapati asrama kami terlebih penghuni.
Waden kami (mendiang Cikgu Sebastian Legak) terkejut. Kata beliau, ‘Macam mana boleh lebih orang? Dalam kes kebakaran sepatutnya kurang orang!’.

Rupa- rupanya terdapat seorang ‘senior’ yang menumpang tidur, ikut sama keluar apabila mendengar bunyi siren kecemasan. Kawan ini juga ikut menyebut nombor apabila tiba gilirannya ketika hitungan dibuat. Sepatutnya dia diam sahaja.  Dalam hitungan pusingan kedua, kawan ini mendiam diri. Sepanjang malam, peristiwa ini menjadi bahan lawak. Kalau semua ‘PATI’ pada malam tersebut keluar tentu keadaan menjadi lebih kelam-kabut dan lucu.

Sunday 21 August 2011

Hari gaji .. bulan puasa ..

Hari gaji … bulan puasa ..
Peristiwa ini menjadi kenanganku setiap hadirnya Ramadan ..
Hari gaji (pada  Sabtu terakhir setiap bulan) merupakan ‘hari besar’. Pekan Serian akan menjadi ‘bandar guru’ dipenuhi ‘scrambler’.  Pada zaman itu gaji diterima melalui guru besar. Beliau akan mendapat sekeping cek daripada PPD. Cek itu mengandungi jumlah gaji seluruh staf di sekolahnya.  SK Engkeroh cuma ada 4 orang staf sahaja jadi jumlah wang yang dipegang oleh guru besar tidaklah begitu banyak. Selepas cek ditunaikan di bank maka kami akan berkumpul di kedai kopi untuk membahagi wang.
Setiap tibanya bulan puasa aku pasti teringat peristiwa pembahagian gaji di kedai kopi, kalau tak silap dalam tahun 1983. Setelah Guru Besar selesai urusan menunaikan cek , kami berkumpul di kedai kopi bersebelahan bank. Tiba-tiba sekumpulan penguatkuasa Majlis Islam menyerbu. Seorang datang ke meja tempat kami berkumpul dan selepas memperkenalkan diri, meminta kami menunjukkan kad pengenalan. Setelah melihat kad pengenalanku, dia terus menyoal samada aku puasa atau tidak. Tentu sekali aku berpuasa. Kalau puasa kenapa duduk di kedai kopi? Aku pun terangkan situasi sebenar, iaitu kami sedang menerima gaji. Namun pegawai tersebut masih lagi kelihatan sangsi. Tiba-tiba Guru Besarku berkata, “Kalau tuan tak percaya lihat jumlah cawan di meja ini. Cawan kopi ada tiga sedangkan kami berempat”.  Walaupun tidak diambil tindakan apa-apa, aku dinasihatkan supaya mencari tempat yang lebih sesuai untuk berurusan di bulan puasa.
Kepada rakan-rakan seperjuangan .. SELAMAT BERPUASA

MPR 80/81 Sains Pertanian

Tiada saat yang membosankan di asrama. Suasana riuh-rendah, bermain gitar, berkumpul sambil berborak, belajar bersama dan pelbagai lagi aktiviti dilakukan. Kadang – kala bermain bola dan hoki dilorong asrama.
Rutin harian yang wajib ialah kuliah dan gerko. Aku ditempatkan dalam Kumpulan D. Hubungan kami sekumpulan sangat erat dan mesra sehingga ke hari ini. Tentunya sangat ‘energetic’, penuh dengan idea dan bersemangat kerana secara purata  kami berumur sekitar 20 tahun.  Terdapat satu subjek yang sangat menarik iaitu Sains Pertanian. Subjek ini memerlukan kami melakukan kerja-kerja praktikal seperti berkebun sayur, memberi makan ikan, lembu, ayam dan itik mengikut giliran. Bagi yang bukan muslim kena menjaga babi. Aku diletakkan sekumpulan dengan dua orang rakan sekuliah, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bila tiba giliran menjaga lembu, kami akan mengheret kereta sorong dan pergi ke pinggir hutan untuk memotong rumput. Aku dan rakan lelaki yang teruk, si perempuan hanya memberi arahan sahaja, takut masuk ke dalam semak. Bila tiba giliran menjaga itik kami kena ambil sisa makanan di kantin. Kadang-kala bila kami melalui kantin dengan membawa baldi sisa makanan, kawan-kawan yang nakal akan membuat bunyi seperti itik dan ayam untuk mengusik kami. Barangkali hasil didikan dan pengalaman seperti ini menjadikan kami guru-guru yang cekal, boleh menyesuaikan diri dalam apa-apa keadaan.
Ketika itu makan diberi percuma. Dewan makan terletak agak jauh dari asrama , masalah jika hari hujan. Bila hari hujan , kami sering lepak di koridor asrama menunggu pelatih wanita lalu supaya dapat menumpang payung. Makanan seperti menu di asrama sekolah menengah. Pelatih berbaris dengan membawa dulang. AJK Makanan yang bertugas bergilir-gilir menjadi tukang agih lauk. Selalunya sarapan pagi dengan 2 biji telur rebus dan roti bun. Kadangkala telur dengan biskut kraker. Seronok makan beramai-ramai. Jika ada telur lebih, dibawa balik ke asrama untuk makan malam.

Friday 19 August 2011

MPR 80/81 .. elaun

Elaun ..
Elaun cuma RM40.00 sebulan, setelah ditolak tempahan ‘blazer’ dan hutang kantin, kadang-kadang hanya ada RM5.00 hingga RM10.00 baki. Untuk ‘menyara hidup’ kena ada ‘side income’. Oleh kerana aku mempunyai kemahiran melukis maka dapatlah aku mengambil upah melukis yang diguna untuk bahan bantu mengajar dan tugasan. Upahnya pula dalam pelbagai bentuk, kadang-kadang wang tetapi selalunya dalam bentuk makanan seperti mi segera dan biskut kering. Guru pelatih perempuan yang selalu menempah hasilkerjaku.
Pekan Binatang terletak beberapa kilometer dari MPR. Pada waktu itu banyak barang  murah di Binatang dan Sarikei, dengar ceritanya, barang-barang seludup dari Tanjung Manis. Sehelai baju jenama Adidas yang tulen boleh dibeli sekitar RM10.00 ke RM15.00, separuh dari harga biasa. Untuk ke Binatang kena naik teksi. Teksi meminta bayaran mengikut bilangan penumpang maka pemandu teksi akan meyumbat seramai mungkin setiap kali perjalanan. Macam sardin kami di dalam teksi. Aku  ke Binatang pada hari Jumaat, naik bas percuma untuk sembahyang di Masjid Binatang. Selepas Jumaat aku dan rakan-rakan ambil peluang untuk meronda-ronda pekan kecil itu.
Kadang-kala aku ikut rakan-rakan ke Sibu. Paling seronok ketika berlaku ‘perang’ bot ekpress. Pengusaha bot berlawan-lawan menawarkan harga terendah untuk menarik penumpang. Mungkin ketika itu belum ada persatuan pengusaha bot ekpres. Pernah kami ditawarkan tambang percuma! Di Sibu kami selalunya menumpang di rumah Mansur (kini Guru Besar). Lepak dan ‘window shopping’ di Sarawak House. Ayah Mansur walaupun pendiam suka memasak, pelbagai makanan dapat kami rasa.
Juru gambar paling popular ketika itu ialah Ah Peng , tuan punya sebuah studio foto di Sarikei. Foto-fotonya boleh dibayar secara ansuran. Aku ambil peluang untuk menjadi agen jualan, dapat foto ‘free’. Selalunya kalau ke Sarikei aku dan rakan-rakan menumpang kereta Ah Peng. Balik dari Sarikei naik bas, berhenti di simpang SMK Meradong dan berjalan kaki ke MPR.

Thursday 18 August 2011

MAKTAB PERGURUAN RAJANG 1980-1981
Setelah hampir 30 tahun meninggalkan Maktab Perguruan Rajang (MPR) , banyak jemputan majlis perkahwinan diterima daripada rakan-rakan seperguruan. Bukan rakan-rakan yang kahwin tetapi anak mereka.  Ramai juga yang telah mendapat gelaran ‘datuk’ hakiki. Kata seorang rakan .. gelaran ini tiada siapa yang boleh tarik balik. Tetapi  bagi rakan-rakan dari golongan hawa,  apa pula gelarannya? Gelaran ‘nenek’ rasanya kurang glamor.  Setiap kali bila menerima jemputan atau berkesempatan bertemu, kenangan lama menjelma kembali.
Permohonanku ke maktab perguruan dalam tahun 1979 banyak dipengaruhi oleh bapa, Bapa seorang guru. Walaupun banyak pilihan pekerjaan di zaman itu, aku tekad menerjunkan diri dalam bidang pendidikan, Aku dipanggil untuk temuduga di Pejabat Pelajaran Kuching ( ketika itu di Jalan Jawa , kini menjadi Muzium Islam ), hadir dengan segak dan kemas. Rambutku yang gondrong , mencecah bahu terpaksa dipotong. Aku ingat salah-seorang penemuduga, Allahyarham Tn. Hj. Khalid Kaderi.  Ketika aku dipanggil masuk, berlaku peristiwa lucu. Bilik temuduga agak luas (bilik persidangan) dengan pintu yang tinggi dan besar, maklumlah bangunan dibina dalam zaman koloni. Setelah kuketuk pintu, aku pun masuk. Pada masa itu aku dengar Tn. Hj. Khalid menyuruh aku ‘mengetuk’ pintu. Maka aku pun keluar semula dan mengetuk pintu dengan agak kuat lalu masuk. Setelah berdiri dan mengucap salam kepada panel temuduga, arwah bertanya (dalam bahasa Melayu Sarawak) :
“Nok apa kenak ko masuk,  kak ya keluar agik”
“Tuan nyuruh saya ngetok pintu tadik, ya  saya keluar , ni nak ngetok pintu dari dalam”, jawabku.
“Aku nyuruh ko nutup pintu.. bukan ngetok pintu”, kata arwah.
Ku lihat penemuduga yang lain tersenyum. Habislah peluang menjadi guru, fikirku, sebab ‘pekak’. Namun aku bernasib baik, ditawarkan ke MPR untuk sesi latihan perguruan 1980-1981. 

Perjalanan  ke Bintangor ( masa itu dikenali dengan nama Binatang ) agak sukar ketika itu. Dalam musim landas jalan daripada Betong ke Sarikei sangat buruk. Nak naik kapal agak gerun kerana peristiwa Pulau Kijang masih segar dalam ingatan. Jadi aku dan beberapa orang rakan menggunakan jalan darat. Naik bas dari Serian ke Sri Aman, kemudian ke Betong seterusnya ke Saratok. Bermalam di Saratok. Keesokan harinya dapat berita bas tidak dapat ke Sarikei kerana jalan rosak teruk. Rupa-rupanya ramai juga guru pelatih yang tersangkut di Saratok. Kami bernasib baik dapat menyewa  sebuah jeep ‘sapu’ untuk ke Sarikei. Di  Bukit Sebangkoi kami terpaksa berjalan kaki kerana jeep tak berupaya mendaki bukit. Sesampai di MPR semua kami ‘puro’ (kotor dan comot). Terpaksa kami tukar pakaian sebelum melapor diri. Aku ingat lagi seorang ‘senior’ yang berada di sekitar tempat pendaftaran, aku minta dia tunjukkan tandas. Dia tunjukkan arah tandas. Setelah beberapa hari selepas pendaftaran barulah aku tahu, tandas yang dia tunjukkan adalah tandas yang paling jauh daripada dewan. Sengaja dia ‘dera’ kami, mengheret beg dan barangan lain ke tandas tersebut. Agak marah juga ketika itu, tetapi lama-kelamaan menjadi cerita lucu. ‘Senior’ itu (kini seorang Guru Besar)  sampai sekarang menjadi teman baik.
Aku ditempatkan di Asrama C, sebuah bangunan kayu lama dua tingkat. Di dalamnya terbahagi kepada petak-petak  yang menempatkan sebuah katil dua tingkat dan meja tulis untuk 2 orang pelatih.Terdapat lorong di bahagian tengah untuk lalu-lalang. Pintu ada dua (di setiap hujung blok) dan kena sentiasa ditutup. Pernah satu hari oleh kerana pintu belakang tidak ditutup, masuk seekor biawak yang akhirnya dipanggang oleh rakan-rakan yang menggemari daging haiwan itu. Jika ingin ‘privasi’ terpaksa beli kain untuk di buat tabir. Maka asrama menjadi berwarna-warni dengan pelbagai warna tabir.
Banyak kenangan semasa minggu suai kenal. Terjun ke dalam kolam ikan menjadi rutin setiap pagi sepanjang minggu. Kena herdik, kelam-kabut berlari ke sana-sini mengejar pelbagai aktiviti adalah amalan harian dalam minggu tersebut. Walau apapun semuanya dapat dilalui, tidak menjadi masalah. Kawan-kawan semakin ramai di kalangan ‘freshie’ dan ‘senior’. Kenakalan ‘senior’ berakhir di malam terakhir (‘freshies’ night’). Pada malam tersebut diumumkan ‘raja’ dan ‘ratu’, pelbagai pertunjukkan bakat dipersembahkan. Pada satu ketika seorang rakan dipanggil secara spontan untuk membuat persembahan di pentas. Rakan ini agak nakal, dinyanyikannya lagu ‘Negaraku’ kerana katanya hanya lagu itu yang dia tahu. Maka semua yang berada di dewan terpaksa berdiri. Kata Pengetua ketika itu (En. Encarang Agas) giliran ‘freshie’ pula yang ‘dera’ kita.