Thursday 22 September 2011

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian
Latihan perguruan tamat pada akhir tahun 1981. Majlis konvo dan ‘graduation night’ merupakan hari yang gembira bercampur sedih. Gembira kerana telah berjaya mengharungi latihan, sedih kerana berpisah dengan rakan-rakan, entah bila lagi akan bertemu. Masing-masing ditempatkan di merata ceruk negeri Sarawak.
Aku dan seorang rakan (Neddy) ditempatkan di SK Engkeroh, Serian. Aku melapor diri pada 02 Disember 1982. Perjalanan ke sekolah pada ketika itu agak sukar. Jalan Tebakang dan Mongkos masih lagi jalan batu dan tanah merah. Dari simpang Engkeroh ke sekolah berjalan kaki  memakan masa lebih 2 jam. Jalan denai kecil berbukit-bukau dan licin.  3 bulan selepas melapor diri, oleh kerana tidak tahan berjalan, aku pinjam duit  emak untuk beli sebuah motosikal scrambler.  Tentang scrambler ini akan ku ceritakan kemudian.
Untuk sementara kami menumpang di  sebuah rumah tumpangan di belakang gereja. Rumah itu kepunyaan gereja. Walaupun kecil ianya lengkap, ada bilik tidur, ruang  tamu dan dapur kayu.  Air disalir melalui paip graviti. Airnya jernih dan sejuk, sukar untuk mandi awal pagi kalau tidak dicampur dengan air panas.  Pelita merupakan sumber cahaya pada waktu malam.  Kehidupan bergerak begitu tenang dan ‘perlahan’ di daerah terpencil ini.
Aku beruntung kerana rakanku seorang pemuzik.  Dia boleh bermain biola dan piano.  Aku pula boleh bermain gitar. Ditambah dengan beberapa orang pemuda kampung, kami selalu ‘jamming’.  Suasana ini ‘mematikan’ kesepian.  Kadang-kala pemuda-pemudi kampung mengadakan majlis sosial  yang  dipenuhi dengan acara nyanyian dan tarian. Tugasku dalam majlis seperti ini ialah menyediakan radio dan bateri serta minyak gas untuk lampu.
Makanan mudah didapati. Sayur-sayuran hutan seperti midin, pucuk paku, rebung dan pelbagai jenis pucuk untuk ulaman sungguh banyak.  Ikan sungai sangat mewah, mudah dipancing atau ditembak dengan senapang ikan. Aku agak mahir dalam aktiviti mencari ikan kerana telah biasa sejak kecil. Sungai berdekatan sangat jernih, memudahkan untuk menyelam dan menembak ikan.  Sekali-sekala aku ikut memburu. Pelanduk mudah ditembak selepas orang kampung membakar huma kerana haiwan ini suka menjilat kayu yang telah hangus. Hidupku di sini seolah-olah  sama dengan zaman kanak-kanakku di kampung :  masuk hutan, memancing, memburu (dulu guna lastik, sekarang guna senapang patah) dan bermain di sungai.
Mengajar anak-anak kampung sungguh menyeronokkan. Aku ditugas mengajar kelas Darjah 1. Muridku seramai 13 orang. Pengambilan murid dibuat secara bergilir (alternate year), jika tahun ini ada Darjah 1, 3 dan 5 maka tahun depan ada Darjah 2, 4 dan 6.
Pada hari pertama , aku menyebut ‘Selamat pagi murid-murid’ … dan menjadi lucu apabila murid-muridku menjawab ‘Selamat pagi murid-murid’. Bila aku kata ‘Sila duduk’ … mereka jawab ‘Sila duduk’. Keadaan ini mungkin disebabkan ‘arahan’ ibu-bapa mereka supaya ikut apa yang cikgu cakap.  Keadaan agak kelam-kabut kerana aku belum mengerti berbahasa Bidayuh dan murid-muridku tidak tahu bahasa Melayu.  
Setelah 5 tahun berada di sana, mungkin aku boleh dianugerahkan ‘diploma’ dalam bahasa Bidayuh Sadong.  Sehingga ke hari ini, bila berjumpa dengan rakan dan kenalan Bidayuh dari Serian, kami akan berbual dalam bahasa Bidayuh.
Aku melaksanakan tanggungjawabku sebaik mungkin. Keempat-empat kami yang mengajar di Engkeroh adalah  anak muda, bersemangat dan bertenaga. Amat mengkagumkan bermula tahun 1983 dan tahun-tahun seterusnya  sekolah ini selalu menjuarai Kejohanan Sukan Zon Payau. Pencapaian murid dalam peperiksaan juga meningkat.
Terlalu cepat masa berlalu.  Baru-baru ini aku terserempak dengan seorang muridku. Terasa amat puas dan bersyukur bila dia memberitahuku bahawa  4  orang daripada kelas yang aku didik di SK Engkeroh berjaya mendaki menara gading. Aku berharap dan berdoa semoga yang lain juga berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Monday 12 September 2011

Tentang durian dan Nazir ..

Sepanjang perjalanan dari Kuching ke Serian banyak pondok sementara menjual durian. Musim durian mengimbau kenangan ketika mengajar di SK Engkeroh, Serian …
Durian di Kampung Engkeroh sungguh mewah. Kalau musim durian setor kecil di kuarters penuh dengan buah berduri ini,  pemberian murid-muridku. Mereka enggan menerima wang,  jadi bila aku keluar ke Pekan Serian atau Tebakang aku akan membeli buah tangan sebagai membalas budi baik mereka.
Durian yang banyak itu kujadikan tempoyak. Setelah beberapa lama aku boleh dikatakan mahir membuat tempoyak . Kata ibuku, tempoyak yang aku buat sedap. Masakan tidak, kalau di kampungku orang membuat tempoyak dengan durian yang tidak begitu baik, aku buat dengan durian ‘kelas A’.
Mendapatkan buah durian bukan kerja yang mudah, kena berada di dusun semalaman, tidur-tidur ayam di langkau, berjalan agak jauh ke kawasan gunung. Ia sukar tapi menyeronokkan, memberi semacam kepuasan.  Orang kampung mempunyai kemahiran dalam kegiatan ini. Terdengar sahaja bunyi buah jatuh, mereka akan segera bergerak dan berupaya mendapatkan buah dalam sekejap masa. Aku dan rakan-rakan pula, dengan lampu suluh teraba-raba mencari, selalunya gagal untuk mendapatkan buah yang jatuh itu. Jika bersama orang kampung , putih matalah kami.  Namun sudah menjadi sifat  murni penduduk kampung, segala yang diperolehi itu dibahagi sama-rata, sama-sama merasa. Pengalaman ‘menjatuk’ durian ini sungguh menyeronokkan, mempereratkan lagi hubunganku dengan penduduk kampung. Sehingga ke hari ini, jika musim durian rakan-rakan di Engkeroh akan mengirim pesan supaya balik untuk bersama-sama menikmati raja buah. Aku dianggap sebagai ‘bala ratus’ atau dalam istilah kini sebagai ‘penduduk tetap’.
Musim durian 1985  mengingkatkan kepada satu peristiwa lucu. Selalunya aku dan rakan-rakanku akan balik ke kuaters sebelum subuh supaya sempat mempersiapkan diri untuk mengajar. Tetapi pada malam berkenaan hujan turun agak lebat menyebabkan jalan becak dan sukar dilalui. Bila kami sampai dihujung kampung, beberapa orang murid sudah menunggu. Kata mereka, ‘Cikgu .. tuan sekolah datang’.  Wah .. berderau darahku. Sesampainya kami di sekolah, aku nampak seorang pegawai dari Jemaah Nazir sedang menunggu sambil berbual-bual dengan *Guru Besar.
 Aku agak hairan melihat  Guru Besar masih berseluar pendek. Rupa-rupa kunci kuarters telah terbawa oleh seorang rakanku. Biasanya kunci ditinggalkan di bilik guru. Sementara menunggu kami datang Guru Besar baring di bangku panjang di luar kuarters dan terus terlelap. Semasa terlena itulah pegawai tersebut datang menaiki sebuah scrambler yang dipandu oleh pekerja am daripada SK Payau (sekolah berdekatan). ‘Memalukan betul’ rungut Guru Besar.
Alangkah kelam-kabutnya kami semua pagi itu. Namun kami hanya diberi teguran dan nasihat. Agaknya pegawai tersebut sejuk hatinya kerana dibekalkan dengan 2 guni kecil durian. Kami beramai-ramai menghantar beliau ke SK Payau.
Catatan : *Guru Besar tersebut telah meninggal dunia dalam bulan Mei 2011. Banyak peristiwa telah dilalui bersama mendiang yang kekal dalam ingatan. ‘ RIP, sir.’

Sunday 4 September 2011

Air ... oh .. air

Air .. oh air ..
Air merupakan masalah utama ketika itu. Bekalan air sentiasa dicatu, jika lambat tidak dapat. Rakan-rakan yang dapat mengisi baldi dengan air akan menyimpannya dalam loker dan dikunci!. Ada seorang rakan yang selalu lewat bangun pagi sering berlagak seperti ‘pengemis’. Dia akan membawa baldi kosong dan dengan ‘muka kasihan’minta air daripada rakan-rakan lain. Dia dapat sedikit demi sedikit, akhirnya air dia pula yang banyak.
Selalunya jika bekalan air terputus, kami akan ke Sungai Bakong untuk mandi. Suasana seperti berkelah. Adakalanya kami akan curi-curi masuk ke kolam renang , tetapi jika diketahui oleh penjaga kolam (kalau tak silap namanya En. Lau) pastinya kena hambat oleh beliau.
Kalau keadaan sangat mendesak, kami panjat tangki air. Sisa air yang bertakung didalam tangki diceduk. Aku teringat seorang rakan yang tidak berani mamanjat, gayat katanya. Dia akan tunggu di bawah tangki dan kami akan mencurah air. Seronok dia, seperti mandi air hujan. Satu hari ketika dia bersabun, kami berpakat turun. Terpaksa rakan ini pergi ke kolam untuk membersih sabun yang melekat di badannya. Awal tahun 2011, aku dapat khabar rakan ini telah kembali ke rahmatullah.  Mudah-mudahan roh arwah dicucuri rahmat  oleh Allah SWT … Al Fatihah ..
Aku ada menyimpan satu rahsia tentang air. ..
Pada satu malam sekembalinya aku dari perpustakaan, aku ‘join’ rakan-rakanku* minum teh. Tiba-tiba tergerak hatiku untuk bertanya .. di mana mereka dapat air? Jawab mereka, ‘air dalam baldi kamu’. Wah .. terasa loya tekak aku, air yang ku simpan dalam baldi adalah air bilasan pakaianku termasuk pakaian dalam yang di ‘recycle’ untuk kecemasan. Cerita ini ku simpan sehingga kami hampir tamat pengajian. Apabila kuceritakan kepada rakan-rakan, mereka kata, ‘kita dah minum air kangkang Hassan!’.
*Kepada sahabat-sahabatku yang berkenaan .. aku mohon maaf ..