Thursday 17 November 2011

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..
Perpindahan ke Muara Tuang mengubah pilihan motosikalku. Aku kini tertarik kepada motosikal ‘sport’. Kelajuan dan bentuk yang ‘sporty’  sesuai untuk melaram di sekitar Kuching dan Muara Tuang.
Motorsikal sport pertamaku ialah Sazuki RG 125.
Aku membelinya di sebuah kedai motosikal berdekatan Hospital Umum Sarawak.  Walaupun hanya berkeupayaan 125 cc., mesin ini kelihatan sporty. Ketika itu tidak ramai yang memiliki motosikal seperti ini. Ia menjadi perhatian para pelajar ketika itu. Baru-baru ini aku ketemu seorang bekas pelajarku, diantara bahan perbualan kami ialah motosikal ini. Dengan nada berjenaka  bekas muridku ini berkata aku kelihatan ‘hebat’ apabila menunggang motosikal dan ramai pelajar perempuan ingin sekali menjadi pembonceng. Katanya lagi .. macam Jamal Abdillah dalam cerita Azura.


Sazuki RG 125

 
Di akhir tahun 1986 aku tertarik dengan model Honda VTR 250.  Mesin ini lebih ‘powerful’ dengan enjin empat strok 250 cc.  Motosikal ini juga aku beli di kedai berdekatan Hospital Umum Sarawak  secara ‘trade-in’.  Mula-mula aku ingin membeli Yamaha RD 350 tetapi motosikal itu besar, sesuai untuk penunggang berbadan besar.  Kata rakanku , kalau aku menunggang Yamaha RD350 , kelihatan macam ‘katon’.


Honda VTR 250

Yamaha RD 350



Pada penghujung tahun 1986 , aku dipanggil oleh Allahyarham Cikgu Sahari Ahmad (ketika itu arwah adalah Pengetua SMK Muara Tuang) ke pejabat. Arwah memaklumkan bahawa aku diarah berpindah ke SMK Santubong menjawat jawatan Pengetua.
Aku datang ke SMK Santubong menunggang motosikal.  Ketika itu jambatan Santubong belum siap. Jika ingin ke seberang aku kena menaiki ‘feri’(bot yang ubahsuai seperti feri kecil, boleh memuatkan sekitar 10 orang penumpang dan 2 buah motosikal) di Rampangi. Aku tidak mempunyai pengalaman menaikkan motosikal ke dalam bot maka aku minta tolong tuanpunya bot. Terkial-kial juga mereka kerana saiz motosikal yang agak besar.
Bila sampai ke sekolah, kerani dan staf yang ada di pejabat sekolah ketika itu kelihatan terkejut apabila aku maklumkan bahawa aku datang melapor diri sebagai Pengetua. Beberapa bulan kemudian, En. Sidi (ketua kerani) memberitahu aku, memang mereka terkejut melihat penampilanku ketika itu .. dengan topi keledar ‘fullface’ berjaket kulit hitam.
Motosikal ini ku simpan di ‘banglo’ Pengetua sahaja. Aku masih lagi ‘seram’ membawanya menaiki feri.  

Wednesday 16 November 2011

Aku dan motosikal...

Motosikal
Sejak mula berkhidmat sehingga 1989 motosikal merupakan mod pengangkutanku. Trenda motosikal berubah mengikut masa. Tahun 1986 scrambler merupakan ‘the in thing’, semua anak muda mengagumi mesin ini. Aku rasa ini merupakan pengaruh Latif Ibrahim, hero cerita Dendang Perantau yang menunggang scrambler.
Aku bukanlah terpengaruh sangat dengan Latif Ibrahim dan watak Des Iskandar dalam cerita berkenaan. Keadaan jalan ketika itu memang sesuai untuk scrambler. Jalan tanah merah  dan berbatu, denai becak, sungai-sungai kecil hanya dapat dilalui dengan scrambler. Mesin pertamaku (aku beli dengan meminjam wang daripada ibuku) ialah sebuah Honda. Ia merupakan ‘trail bike’, empat strok, mempunyai tayar dan ‘sproket’ yang besar. Mesin ini sangat sesuai untuk  ‘terrain’ yang sukar. Tidak ada masalah untuk mendaki bukit dan menyeberangi sungai kecil berbatu. Kalau keadaan jalan sangat becak, rantai akan dililit pada tayar untuk memperkukuhkan lagi cengkaman. Ketika itu ‘ujian’ untuk menguji kehebatan scrambler dan kecekapan penunggangnya ialah Bukit Paun’ Binung (sebuah bukit tinggi di antara Tebakang dengan Tebedu). Kalau berjaya mendaki bukit itu maka kita dianggap ‘lulus’.
 
Scrambler kedua yang aku beli ialah sebuah Yamaha Enduro, jenis ‘dirtbike’. Mesin ini tidak sekuat Honda kerana mempunyai ‘sproket’ yang lebih kecil dan enjinnya cuma dua strok. Kelebihannya  dari aspek kelajuan dan rekabentuknya yang lebih bergaya. Ketika itu jalan sudah agak baik (ada jalan sudah ditabur batu kecil ).  Mesin ini agak tinggi dan memerlukan kecekapan untuk mengimbanginya.

Scrambler jenis Sazuki ER menjadi pilihanku seterusnya. Keupayaan mesin ini hampir sama dengan Yamaha Enduro. Ia juga merupakan ‘dirt bike’. Kelebihan mesin ini ialah penjimatan minyak. Aku juga terpikat dengan rekabentuknya, kelihatan gagah.


Setiap motosikal ini mempunyai cerita-ceritanya.  Aku akan menulisnya kemudian…

Monday 14 November 2011

Muara Tuang 1986

SMK Muara Tuang  1986
1986 .. Muara Tuang hanya perkampungan kecil, dua deret kedai dan beberapa buah bangunan kerajaan.  Bila aku diarahkan melapor diri di SMK Muara Tuang  aku ingatkan sekolah itu berada di Muara Tuang. Rupa-rupanya  ia terletak berdekatan sebuah kampung Iban bernama Merdang Lumut. Jalan daripada Pekan Batu Tujuh memakan masa lebih-kurang 20 minit. Ketika itu kiri-kanan jalan hanyalah kebun dan belukar. Jauh bezanya dengan suasana sekarang.  
Aku datang seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.  Permohonanku untuk mendapat sebuah tempat tinggal dilulus oleh Tuan Pengetua (En. Arthur Chiew).  Tempat tinggalku merupakan bilik pembantu rumah di belakang banglo pengetua. Agak sempit namun selesa. Ketika itu Tuan Pengetua tidak tinggal di banglo berkenaan. Penghuni banglo adalah 2 orang guru bujang ( Cikgu Suut dan Cikgu Hamdi).  Pada waktu persekolahan banglo itu menjadi ‘rumah hinggap’  guru-guru yang tidak tinggal di kawasan sekolah.
Mesyuarat staf yang pertama membuat aku agak bingung. Dulu (ketika di Engkeroh kadang-kadang mesyuarat di bawah pokok sahaja) bilangan korumnya hanya  4  orang , ditempat baru ini stafnya lebih 100 orang.  Ramai orang  maka pelbagailah kerenahnya.  Mesyuarat memakan masa agak panjang dan banyak perkara yang aku tidak / kurang faham. Bermula dengan mesyuarat itu aku mendapat ramai rakan baru yang kelaknya banyak membantu dalam mengharungi kehidupanku sebagai guru sekolah menengah.
Di  SMK Muara Tuang aku mengajar Sejarah dan Bahasa Inggeris  Tingkatan 1 dan 2.  Aku menjadi Guru Tingkatan bagi Tingkatan 1C.  ‘The first is always special’ .. pelajarku di Tingkatan 1C sentiasa mendapat tempat yang ‘istimewa’ dalam hati dan ingatanku. Aku telah berjumpa dengan beberapa orang bekas pelajarku, 2 orang kini bekerja bersamaku di IPGKTAR, seorang  menjadi pegawai tadbir di Pejabat Residen Samarahan, beberapa orang menjadi guru di sekitar Samarahan, ada juga yang berjaya dalam bidang  professional, pertanian, keusahawanan dan perniagaan .. Alhamdulillah.

Wednesday 2 November 2011

Things Fall Apart

Things Fall Apart
.. itulah yang aku rasa pada tahun 1985. Mungkin itu yang Okonkwo rasa lewat novel tersebut.
Setelah 5 tahun bermastautin di Kpg Engkeroh, menghirup udara bersih nyaman, merasai keenakan flora dan fauna yang segar,  tiba-tiba air sungai jernih menjadi keroh, gunung dan bukit menjadi gondol, deruman mesin menggantikan bunyi mergastua … mengganggu aku daripada kehidupan tenang yang telah aku lalui. Daerah ini telah didatangi pembangunan dan sememangnya diperlukan untuk masa depan penghuninya. Semoga daerah ini tidak hilang jati diri akibat arus pembangunan. Mudahan-mudahan ‘soul’ nya tidak diracuni oleh ‘kemanisan’  sehingga lupa siapa diri kita.
Kukira sudah tiba masanya aku mohon pindah. Permohonanku diluluskan, dan pada Januari 1986, bermulalah episod  baru dalam perjalanan hidupku di satu daerah lain.
Selamat tinggal Engkeroh dan daerah Mongkos. Sesungguhnya daerah ini telah banyak mengajar aku tentang kehidupan.  Kepada teman-teman di Engkeroh, kalian semua sentiasa dalam kenangan, budi baik kalian hanya Tuhan yang dapat membalasnya.
Catatan :
27 tahun telah berlalu .. daerah ini telah kulewati beberapa kali. Teman-temanku di sana tetap seperti dulu hati budi mereka,masih lagi enggan bercakap Bahasa Melayu dengan aku walaupun kini Bahasa Bidayuh ku menjadi bahan gelak mereka ,  dan aku gembira melihat perubahan . .. rumah batu tersergam indah, sudah punya kereta, punya anak yang berjaya. Well .. things don't really fall apart afterall..

Monday 10 October 2011

Konvokesyen

Konvokesyen
Syukur Alhamdulillah ..
Konvokesyen adalah hari bersejarah dalam hidup kita. Konvo untuk ijazah pertamaku telah 20 lebih tahun berlalu di DTSP, USM Pulau Pinang. Aku rasa bertuah kerana dapat menggenggam segolong ijazah. Segalanya mungkin kerana pengorbanan diiringi doa ibu-bapa dan keluarga .. Alhamdulillah.
Pada 26 September 2011 sekali lagi aku menghadiri majlis konvokesyen. Kini ia adalah konvokesyen anakku (Muhd Nadhir bin Hassan) yang telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Geologi) daripada UKM. Alhamdulillah , syukur kepada ALLAH SWT, semoga ijazah ini akan menjadikan anakku insan yang berguna, berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat .. amin.
Isteri, aku dan dua orang lagi cahaya mataku (Muhd. Nazri dan Muhd. Hisyam) bersama seorang kakak iparku (yang membantu memelihara anak-anak sejak mereka kecil)  hadir untuk meraikan majlis penuh bermakna ini di UKM, Bangi. Jam 6 pagi kami sudah bertolak daripada hotel dan keadaan sesak apabila menghampiri UKM.  Wajah-wajah gembira yang ku jumpai di sekitar DECTAR , UKM membuat aku sangat teruja.
Ketika isteriku  mengemas jubah konvo anaknya, mengingatkan aku bagaimana dia mengemas budak itu dengan penuh kasih-sayang ketika kecil.  Anak ini anak sulung, manja dengan ibunya, segala rasa.. ibunyalah tempat dia mengadu.  Namun aku juga pasti bahawa anak ini tahu aku sangat mengasihinya dan amat bangga dengan pencapaiannnya. Aku berharap anak ini akan menjadi contoh buat adik-adiknya.
Saat anakku menaiki pentas dan mendapat skrollnya daripada Chanselor UKM , DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, kulihat air mata mengenang di mata isteriku. Terasa pengorbanan selama ini tidak sia-sia. Semoga ini menjadi perangsang buat Muhd. Nazri dan Muhd. Hisyam, insyaallah ..
Syukur Alhamdulillah … mudahan-mudahan anak dan keluargaku sentiasa dalam peliharaanMu.

Sunday 2 October 2011

Soalan KKP - PPISMP Sem 1 / 2011

KERJA KURSUS PENDEK



TAJUK PROGRAM  : PPISMP


NAMA GURU PELATIH  :



TAJUK KURSUS :
Kemahiran Generik : Kemahiran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (TMK)

KOD KURSUS      : TM3311D3

SEMESTER  : 1




TARIKH MULA


TARIKH HANTAR







a)      Hasil Pembelajaran Kursus

1.       Menentukan dan menggunakan sistem operasi dan perisian aplikasi yang sesuai mengikut keperluan.
2.       Menyatakan kepentingan dan mengaplikasikan kemahiran literasi maklumat ke atas sumber digital.
3.       Mengamalkan nilai-nilai positif dan beretika dalam menggunakan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi sebagai alat pembelajaran yang berkesan.

b)      Objektif Kerja Kursus Pendek
1.       Mengenalpasti kegunaan perisian hamparan kerja.
2.       Menggunakan kemudahan dan fitur-fitur yang terdapat dalam perisian hamparan kerja.
3.       Membina carta daripada jadual yang diberikan.
4.       Mengenalpasti formula-formula am yang biasanya digunakan untuk tugas seharian guru.

c)       Tugasan  Kerja Kursus Pendek

Tajuk Tugasan : Membina Hamparan Elektronik

ARAHAN: Anda dikehendaki untuk menjawab semua soalan yang diberikan.

1)      Apakah urutan arahan untuk membuka satu lembaran kerja baru?

2)      Nyatakan LIMA (5) kegunaan MICROSOFT EXCEL kepada warga guru dalam tugas seharian mereka.

3)      Masukkan perkataan dan nilai ke dalam satu lembaran kerja berdasarkan rujukan sel berikut:
Sel A3: Jenis, Sel A4: Compaq, Sel A5: Acer, Sel A6: NEC, Sel A7: Dell;
Sel B3: Untung (RM), Sel B4: 5000.00, Sel B5: 5500.00, Sel B6: 5250.00, Sel B7: 5100.00.

4)      Jawab soalan-soalan berikut:
a.       Masukkan satu formula/fungsi ke dalam sel B9 untuk mengira jumlah kesemua sel-sel tersebut. Apakah formula/fungsi tersebut dan apakah hasil yang tertera di dalam sel B9? Masukkan perkataan ‘Jumlah Untung’ ke dalam sel A9.

b.      Masukkan satu formula/fungsi ke dalam sel B10 untuk mencari purata bagi sel B4 sehingga B7. Apakah formula/fungsi tersebut dan apakah hasil yang tertera di dalam sel B10?  Masukkan perkataan ‘Purata Untung’ ke dalam sel A10

c.       Masukkan satu formula/fungsi ke dalam sel B11 untuk mencari nilai minimum/terendah bagi sel B4 sehingga B7. Apakah formula/fungsi tersebut dan apakah hasil yang tertera di dalam sel B11? Masukkan perkataan ‘Untung Minimum’ ke dalam sel A11.

d.      Masukkan satu formula/fungsi ke dalam sel B12 untuk mencari nilai maksimum/tertinggi bagi sel B4 sehingga B7. Apakah formula/fungsi tersebut dan apakah hasil yang tertera di dalam sel B12? Masukkan perkataan ‘Untung Maksimum’ ke dalam sel A12.

e.      Masukkan perkataan ‘LAPORAN KEUNTUNGAN ’ ke dalam sel A1 dan gunakan Shading pada sel tersebut.

f.        Sediakan satu gambar rajah untuk menunjukkan 'LAPORAN KEUNTUNGAN' tersebut.

g.       Sila cetak dan hantar LEMBARAN KERJA  di atas berserta GAMBARAJAH  tersebut.


Panduan Pelaksanaan Kerja Kursus ( 100 markah )

1.       Tugasan ini adalah tugasan individu

2.       Gambar rajah   yang disediakan perlu dalam cetakan berwarna.

3.       Tugasan perlu dihantar dalam bentuk hardcopy (Pemdokumentasian) dan softcopy (hamparan kerja).

4.       Format penulisan tugasan adalah seperti berikut:
                i)             Menggunakan Font Arial
                ii)            Saiz huruf ialah 12,  ( Justifikasi/komen saiz 10) dan langkau 1 ½ baris
                ii)            Format : Landscape
                iv)           Rujukan mengikut format yang bersesuaian.
                 v)           Lampiran

5.        Amalan Plagiat tidak dibenarkan

6.       Panjang tugasan tidak kurang daripada 5 muka surat ( termasuk persembahan visual)

8.   Perlaksanaan kerja kursus hendaklah merujuk kepada Buku Panduan Perlaksanaan 
      dan Penilaian Kerja Kursus Berasaskan Ilmu Edisi Pelajar

9   Tugasan ini membawa markah 100 dan wajaran 100%



 Arahan Pentadbiran .

1.       Bahagian luar folio dan pelaporan perlu maklumat berikut:
    1. Nama institusi
    2. Nama Kursus
    3. Kod Kursus
    4. Nama guru pelatih
    5. No. kad pengenalan
    6. Kumpulan/unit
    7. Tajuk Kerja Kursus
    8. Nama pensyarah pembimbing.
    9. Tarikh Serahan

Tugasan yang baik harus menunjukkan kriteria-kriteria berikut:

1.       Penggunaan formula yang betul.
2.       Pengiraan / formula yang tepat.
3.       Gambar rajah  yang kemas dan tepat.
4.       Penglabelan gambar rajah yang sistematik dan kemas.
5.       Pengdokumenatasi yang lengkap dan teratur.





Thursday 22 September 2011

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian
Latihan perguruan tamat pada akhir tahun 1981. Majlis konvo dan ‘graduation night’ merupakan hari yang gembira bercampur sedih. Gembira kerana telah berjaya mengharungi latihan, sedih kerana berpisah dengan rakan-rakan, entah bila lagi akan bertemu. Masing-masing ditempatkan di merata ceruk negeri Sarawak.
Aku dan seorang rakan (Neddy) ditempatkan di SK Engkeroh, Serian. Aku melapor diri pada 02 Disember 1982. Perjalanan ke sekolah pada ketika itu agak sukar. Jalan Tebakang dan Mongkos masih lagi jalan batu dan tanah merah. Dari simpang Engkeroh ke sekolah berjalan kaki  memakan masa lebih 2 jam. Jalan denai kecil berbukit-bukau dan licin.  3 bulan selepas melapor diri, oleh kerana tidak tahan berjalan, aku pinjam duit  emak untuk beli sebuah motosikal scrambler.  Tentang scrambler ini akan ku ceritakan kemudian.
Untuk sementara kami menumpang di  sebuah rumah tumpangan di belakang gereja. Rumah itu kepunyaan gereja. Walaupun kecil ianya lengkap, ada bilik tidur, ruang  tamu dan dapur kayu.  Air disalir melalui paip graviti. Airnya jernih dan sejuk, sukar untuk mandi awal pagi kalau tidak dicampur dengan air panas.  Pelita merupakan sumber cahaya pada waktu malam.  Kehidupan bergerak begitu tenang dan ‘perlahan’ di daerah terpencil ini.
Aku beruntung kerana rakanku seorang pemuzik.  Dia boleh bermain biola dan piano.  Aku pula boleh bermain gitar. Ditambah dengan beberapa orang pemuda kampung, kami selalu ‘jamming’.  Suasana ini ‘mematikan’ kesepian.  Kadang-kala pemuda-pemudi kampung mengadakan majlis sosial  yang  dipenuhi dengan acara nyanyian dan tarian. Tugasku dalam majlis seperti ini ialah menyediakan radio dan bateri serta minyak gas untuk lampu.
Makanan mudah didapati. Sayur-sayuran hutan seperti midin, pucuk paku, rebung dan pelbagai jenis pucuk untuk ulaman sungguh banyak.  Ikan sungai sangat mewah, mudah dipancing atau ditembak dengan senapang ikan. Aku agak mahir dalam aktiviti mencari ikan kerana telah biasa sejak kecil. Sungai berdekatan sangat jernih, memudahkan untuk menyelam dan menembak ikan.  Sekali-sekala aku ikut memburu. Pelanduk mudah ditembak selepas orang kampung membakar huma kerana haiwan ini suka menjilat kayu yang telah hangus. Hidupku di sini seolah-olah  sama dengan zaman kanak-kanakku di kampung :  masuk hutan, memancing, memburu (dulu guna lastik, sekarang guna senapang patah) dan bermain di sungai.
Mengajar anak-anak kampung sungguh menyeronokkan. Aku ditugas mengajar kelas Darjah 1. Muridku seramai 13 orang. Pengambilan murid dibuat secara bergilir (alternate year), jika tahun ini ada Darjah 1, 3 dan 5 maka tahun depan ada Darjah 2, 4 dan 6.
Pada hari pertama , aku menyebut ‘Selamat pagi murid-murid’ … dan menjadi lucu apabila murid-muridku menjawab ‘Selamat pagi murid-murid’. Bila aku kata ‘Sila duduk’ … mereka jawab ‘Sila duduk’. Keadaan ini mungkin disebabkan ‘arahan’ ibu-bapa mereka supaya ikut apa yang cikgu cakap.  Keadaan agak kelam-kabut kerana aku belum mengerti berbahasa Bidayuh dan murid-muridku tidak tahu bahasa Melayu.  
Setelah 5 tahun berada di sana, mungkin aku boleh dianugerahkan ‘diploma’ dalam bahasa Bidayuh Sadong.  Sehingga ke hari ini, bila berjumpa dengan rakan dan kenalan Bidayuh dari Serian, kami akan berbual dalam bahasa Bidayuh.
Aku melaksanakan tanggungjawabku sebaik mungkin. Keempat-empat kami yang mengajar di Engkeroh adalah  anak muda, bersemangat dan bertenaga. Amat mengkagumkan bermula tahun 1983 dan tahun-tahun seterusnya  sekolah ini selalu menjuarai Kejohanan Sukan Zon Payau. Pencapaian murid dalam peperiksaan juga meningkat.
Terlalu cepat masa berlalu.  Baru-baru ini aku terserempak dengan seorang muridku. Terasa amat puas dan bersyukur bila dia memberitahuku bahawa  4  orang daripada kelas yang aku didik di SK Engkeroh berjaya mendaki menara gading. Aku berharap dan berdoa semoga yang lain juga berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Monday 12 September 2011

Tentang durian dan Nazir ..

Sepanjang perjalanan dari Kuching ke Serian banyak pondok sementara menjual durian. Musim durian mengimbau kenangan ketika mengajar di SK Engkeroh, Serian …
Durian di Kampung Engkeroh sungguh mewah. Kalau musim durian setor kecil di kuarters penuh dengan buah berduri ini,  pemberian murid-muridku. Mereka enggan menerima wang,  jadi bila aku keluar ke Pekan Serian atau Tebakang aku akan membeli buah tangan sebagai membalas budi baik mereka.
Durian yang banyak itu kujadikan tempoyak. Setelah beberapa lama aku boleh dikatakan mahir membuat tempoyak . Kata ibuku, tempoyak yang aku buat sedap. Masakan tidak, kalau di kampungku orang membuat tempoyak dengan durian yang tidak begitu baik, aku buat dengan durian ‘kelas A’.
Mendapatkan buah durian bukan kerja yang mudah, kena berada di dusun semalaman, tidur-tidur ayam di langkau, berjalan agak jauh ke kawasan gunung. Ia sukar tapi menyeronokkan, memberi semacam kepuasan.  Orang kampung mempunyai kemahiran dalam kegiatan ini. Terdengar sahaja bunyi buah jatuh, mereka akan segera bergerak dan berupaya mendapatkan buah dalam sekejap masa. Aku dan rakan-rakan pula, dengan lampu suluh teraba-raba mencari, selalunya gagal untuk mendapatkan buah yang jatuh itu. Jika bersama orang kampung , putih matalah kami.  Namun sudah menjadi sifat  murni penduduk kampung, segala yang diperolehi itu dibahagi sama-rata, sama-sama merasa. Pengalaman ‘menjatuk’ durian ini sungguh menyeronokkan, mempereratkan lagi hubunganku dengan penduduk kampung. Sehingga ke hari ini, jika musim durian rakan-rakan di Engkeroh akan mengirim pesan supaya balik untuk bersama-sama menikmati raja buah. Aku dianggap sebagai ‘bala ratus’ atau dalam istilah kini sebagai ‘penduduk tetap’.
Musim durian 1985  mengingkatkan kepada satu peristiwa lucu. Selalunya aku dan rakan-rakanku akan balik ke kuaters sebelum subuh supaya sempat mempersiapkan diri untuk mengajar. Tetapi pada malam berkenaan hujan turun agak lebat menyebabkan jalan becak dan sukar dilalui. Bila kami sampai dihujung kampung, beberapa orang murid sudah menunggu. Kata mereka, ‘Cikgu .. tuan sekolah datang’.  Wah .. berderau darahku. Sesampainya kami di sekolah, aku nampak seorang pegawai dari Jemaah Nazir sedang menunggu sambil berbual-bual dengan *Guru Besar.
 Aku agak hairan melihat  Guru Besar masih berseluar pendek. Rupa-rupa kunci kuarters telah terbawa oleh seorang rakanku. Biasanya kunci ditinggalkan di bilik guru. Sementara menunggu kami datang Guru Besar baring di bangku panjang di luar kuarters dan terus terlelap. Semasa terlena itulah pegawai tersebut datang menaiki sebuah scrambler yang dipandu oleh pekerja am daripada SK Payau (sekolah berdekatan). ‘Memalukan betul’ rungut Guru Besar.
Alangkah kelam-kabutnya kami semua pagi itu. Namun kami hanya diberi teguran dan nasihat. Agaknya pegawai tersebut sejuk hatinya kerana dibekalkan dengan 2 guni kecil durian. Kami beramai-ramai menghantar beliau ke SK Payau.
Catatan : *Guru Besar tersebut telah meninggal dunia dalam bulan Mei 2011. Banyak peristiwa telah dilalui bersama mendiang yang kekal dalam ingatan. ‘ RIP, sir.’