Thursday 17 November 2011

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..
Perpindahan ke Muara Tuang mengubah pilihan motosikalku. Aku kini tertarik kepada motosikal ‘sport’. Kelajuan dan bentuk yang ‘sporty’  sesuai untuk melaram di sekitar Kuching dan Muara Tuang.
Motorsikal sport pertamaku ialah Sazuki RG 125.
Aku membelinya di sebuah kedai motosikal berdekatan Hospital Umum Sarawak.  Walaupun hanya berkeupayaan 125 cc., mesin ini kelihatan sporty. Ketika itu tidak ramai yang memiliki motosikal seperti ini. Ia menjadi perhatian para pelajar ketika itu. Baru-baru ini aku ketemu seorang bekas pelajarku, diantara bahan perbualan kami ialah motosikal ini. Dengan nada berjenaka  bekas muridku ini berkata aku kelihatan ‘hebat’ apabila menunggang motosikal dan ramai pelajar perempuan ingin sekali menjadi pembonceng. Katanya lagi .. macam Jamal Abdillah dalam cerita Azura.


Sazuki RG 125

 
Di akhir tahun 1986 aku tertarik dengan model Honda VTR 250.  Mesin ini lebih ‘powerful’ dengan enjin empat strok 250 cc.  Motosikal ini juga aku beli di kedai berdekatan Hospital Umum Sarawak  secara ‘trade-in’.  Mula-mula aku ingin membeli Yamaha RD 350 tetapi motosikal itu besar, sesuai untuk penunggang berbadan besar.  Kata rakanku , kalau aku menunggang Yamaha RD350 , kelihatan macam ‘katon’.


Honda VTR 250

Yamaha RD 350



Pada penghujung tahun 1986 , aku dipanggil oleh Allahyarham Cikgu Sahari Ahmad (ketika itu arwah adalah Pengetua SMK Muara Tuang) ke pejabat. Arwah memaklumkan bahawa aku diarah berpindah ke SMK Santubong menjawat jawatan Pengetua.
Aku datang ke SMK Santubong menunggang motosikal.  Ketika itu jambatan Santubong belum siap. Jika ingin ke seberang aku kena menaiki ‘feri’(bot yang ubahsuai seperti feri kecil, boleh memuatkan sekitar 10 orang penumpang dan 2 buah motosikal) di Rampangi. Aku tidak mempunyai pengalaman menaikkan motosikal ke dalam bot maka aku minta tolong tuanpunya bot. Terkial-kial juga mereka kerana saiz motosikal yang agak besar.
Bila sampai ke sekolah, kerani dan staf yang ada di pejabat sekolah ketika itu kelihatan terkejut apabila aku maklumkan bahawa aku datang melapor diri sebagai Pengetua. Beberapa bulan kemudian, En. Sidi (ketua kerani) memberitahu aku, memang mereka terkejut melihat penampilanku ketika itu .. dengan topi keledar ‘fullface’ berjaket kulit hitam.
Motosikal ini ku simpan di ‘banglo’ Pengetua sahaja. Aku masih lagi ‘seram’ membawanya menaiki feri.  

Wednesday 16 November 2011

Aku dan motosikal...

Motosikal
Sejak mula berkhidmat sehingga 1989 motosikal merupakan mod pengangkutanku. Trenda motosikal berubah mengikut masa. Tahun 1986 scrambler merupakan ‘the in thing’, semua anak muda mengagumi mesin ini. Aku rasa ini merupakan pengaruh Latif Ibrahim, hero cerita Dendang Perantau yang menunggang scrambler.
Aku bukanlah terpengaruh sangat dengan Latif Ibrahim dan watak Des Iskandar dalam cerita berkenaan. Keadaan jalan ketika itu memang sesuai untuk scrambler. Jalan tanah merah  dan berbatu, denai becak, sungai-sungai kecil hanya dapat dilalui dengan scrambler. Mesin pertamaku (aku beli dengan meminjam wang daripada ibuku) ialah sebuah Honda. Ia merupakan ‘trail bike’, empat strok, mempunyai tayar dan ‘sproket’ yang besar. Mesin ini sangat sesuai untuk  ‘terrain’ yang sukar. Tidak ada masalah untuk mendaki bukit dan menyeberangi sungai kecil berbatu. Kalau keadaan jalan sangat becak, rantai akan dililit pada tayar untuk memperkukuhkan lagi cengkaman. Ketika itu ‘ujian’ untuk menguji kehebatan scrambler dan kecekapan penunggangnya ialah Bukit Paun’ Binung (sebuah bukit tinggi di antara Tebakang dengan Tebedu). Kalau berjaya mendaki bukit itu maka kita dianggap ‘lulus’.
 
Scrambler kedua yang aku beli ialah sebuah Yamaha Enduro, jenis ‘dirtbike’. Mesin ini tidak sekuat Honda kerana mempunyai ‘sproket’ yang lebih kecil dan enjinnya cuma dua strok. Kelebihannya  dari aspek kelajuan dan rekabentuknya yang lebih bergaya. Ketika itu jalan sudah agak baik (ada jalan sudah ditabur batu kecil ).  Mesin ini agak tinggi dan memerlukan kecekapan untuk mengimbanginya.

Scrambler jenis Sazuki ER menjadi pilihanku seterusnya. Keupayaan mesin ini hampir sama dengan Yamaha Enduro. Ia juga merupakan ‘dirt bike’. Kelebihan mesin ini ialah penjimatan minyak. Aku juga terpikat dengan rekabentuknya, kelihatan gagah.


Setiap motosikal ini mempunyai cerita-ceritanya.  Aku akan menulisnya kemudian…

Monday 14 November 2011

Muara Tuang 1986

SMK Muara Tuang  1986
1986 .. Muara Tuang hanya perkampungan kecil, dua deret kedai dan beberapa buah bangunan kerajaan.  Bila aku diarahkan melapor diri di SMK Muara Tuang  aku ingatkan sekolah itu berada di Muara Tuang. Rupa-rupanya  ia terletak berdekatan sebuah kampung Iban bernama Merdang Lumut. Jalan daripada Pekan Batu Tujuh memakan masa lebih-kurang 20 minit. Ketika itu kiri-kanan jalan hanyalah kebun dan belukar. Jauh bezanya dengan suasana sekarang.  
Aku datang seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.  Permohonanku untuk mendapat sebuah tempat tinggal dilulus oleh Tuan Pengetua (En. Arthur Chiew).  Tempat tinggalku merupakan bilik pembantu rumah di belakang banglo pengetua. Agak sempit namun selesa. Ketika itu Tuan Pengetua tidak tinggal di banglo berkenaan. Penghuni banglo adalah 2 orang guru bujang ( Cikgu Suut dan Cikgu Hamdi).  Pada waktu persekolahan banglo itu menjadi ‘rumah hinggap’  guru-guru yang tidak tinggal di kawasan sekolah.
Mesyuarat staf yang pertama membuat aku agak bingung. Dulu (ketika di Engkeroh kadang-kadang mesyuarat di bawah pokok sahaja) bilangan korumnya hanya  4  orang , ditempat baru ini stafnya lebih 100 orang.  Ramai orang  maka pelbagailah kerenahnya.  Mesyuarat memakan masa agak panjang dan banyak perkara yang aku tidak / kurang faham. Bermula dengan mesyuarat itu aku mendapat ramai rakan baru yang kelaknya banyak membantu dalam mengharungi kehidupanku sebagai guru sekolah menengah.
Di  SMK Muara Tuang aku mengajar Sejarah dan Bahasa Inggeris  Tingkatan 1 dan 2.  Aku menjadi Guru Tingkatan bagi Tingkatan 1C.  ‘The first is always special’ .. pelajarku di Tingkatan 1C sentiasa mendapat tempat yang ‘istimewa’ dalam hati dan ingatanku. Aku telah berjumpa dengan beberapa orang bekas pelajarku, 2 orang kini bekerja bersamaku di IPGKTAR, seorang  menjadi pegawai tadbir di Pejabat Residen Samarahan, beberapa orang menjadi guru di sekitar Samarahan, ada juga yang berjaya dalam bidang  professional, pertanian, keusahawanan dan perniagaan .. Alhamdulillah.

Wednesday 2 November 2011

Things Fall Apart

Things Fall Apart
.. itulah yang aku rasa pada tahun 1985. Mungkin itu yang Okonkwo rasa lewat novel tersebut.
Setelah 5 tahun bermastautin di Kpg Engkeroh, menghirup udara bersih nyaman, merasai keenakan flora dan fauna yang segar,  tiba-tiba air sungai jernih menjadi keroh, gunung dan bukit menjadi gondol, deruman mesin menggantikan bunyi mergastua … mengganggu aku daripada kehidupan tenang yang telah aku lalui. Daerah ini telah didatangi pembangunan dan sememangnya diperlukan untuk masa depan penghuninya. Semoga daerah ini tidak hilang jati diri akibat arus pembangunan. Mudahan-mudahan ‘soul’ nya tidak diracuni oleh ‘kemanisan’  sehingga lupa siapa diri kita.
Kukira sudah tiba masanya aku mohon pindah. Permohonanku diluluskan, dan pada Januari 1986, bermulalah episod  baru dalam perjalanan hidupku di satu daerah lain.
Selamat tinggal Engkeroh dan daerah Mongkos. Sesungguhnya daerah ini telah banyak mengajar aku tentang kehidupan.  Kepada teman-teman di Engkeroh, kalian semua sentiasa dalam kenangan, budi baik kalian hanya Tuhan yang dapat membalasnya.
Catatan :
27 tahun telah berlalu .. daerah ini telah kulewati beberapa kali. Teman-temanku di sana tetap seperti dulu hati budi mereka,masih lagi enggan bercakap Bahasa Melayu dengan aku walaupun kini Bahasa Bidayuh ku menjadi bahan gelak mereka ,  dan aku gembira melihat perubahan . .. rumah batu tersergam indah, sudah punya kereta, punya anak yang berjaya. Well .. things don't really fall apart afterall..