Monday 3 November 2014

Pengurusan Bilik Darjah 2

Amalan Pengurusan Bilik Darjah

Merancang

Seseorang guru perlu merancang perjalanan sesi pengajaran dan pembelajaran atau sesuatu aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. Dalam membuat perancangan pengajaran,  guru akan menentukan tajuk pelajaran, objektif yang hendak dicapai, serta jenis bahan pengajaran dan alat bantu mengajar yang akan digunakan bagi menghidupkan suasana pengajaran dan pembelajaran.

Selain perancangan pengajaran, guru juga merancang disiplin dan pengurusan bilik darjah yang baik agar pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dalam keadaan yang tenteram. Guru perlu memikirkan cara-cara untuk mengurangkan masalah disiplin seperti menggalakkan aktiviti yang bermakna serta menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti baru boleh menimbulkan unsur suspens dan mengagumkan.

Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu pelajaran atau kegiatan di dalam bilik darjah amat bergantung kepada perancangan teliti yang dibuat oleh seseorang guru.

Mengurus

Guru juga perlu bertindak sebagai seorang pegurus yang cekap.Ini penting bagi mewujudkan keadaan yang tenteram, kerana keadaan yang tenteram adalah selesa untuk pembelajaran. Sebagai pengurus,  guru akan memastikan segala kegiatan harian seperti menanda kedatangan dan mengedar serta mengumpul buku-buku latihan dijalankan dengan teratur.

Sebagai pengurus, guru juga menentukan bahawa susunan meja dan kerusi adalah sesuai bagi murid-muridnya. Masalah seperti halangan kepada penglihatan murid-murid yang lain hendaklah dielakkan. Penyusunan tempat duduk murid-murid mengikut kumpulan akan memudahkan interaksi antara guru dengan murid serta antara murid dengan murid.

Selaku pengurus yang baik, guru hendaklah mendengar masalah murid dan sentiasa memotivasikan orang yang dijaganya. Dia hendaklah berusaha untuk menggerakkan  muridnya supaya mereka terdorong untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Pengurus yang cekap lazimnya berjaya membentuk disiplin kendiri individu-individu di bawah jagaannya. Oleh itu, sebagai pengurus, guru perlu berusaha untuk menimbulkan disiplin kendiri di kalangan murid-muridnya. Situasi ini akan meningkatkan lagi mutu pengajaran-pembelajaran.

Mengelola

Selain mengajar, peranan guru sebagai pengelola tidak kurang  pentingnya. Sebagai pengelola, guru menjalankan tugas-tugas berikut di dalam bilik darjah:
  • Memastikan penyusunan kerusi meja adalah sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran.
  • Menyediakan keadaan bilik darjah yang menggalakkan penyertaan murid-murid.
  • Memastikan segala bahan, peralatan serta kelengkapan mencukupi.
  • Menyediakan kumpulan-kumpulan yang senang mengambil bahagian dalam perbincangan seperti sesi buzz dan sumbangsaran.
  • Memastikan masalah disiplin tidak timbul agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar.
  • Menyediakan jenis penilaian dan melaksanakannya untuk mendapatkan hasil yang sah serta boleh dipercayai.

Sebagai pengelola yang cekap, guru akan berjaya menyediakan suasana bagi menjamin pengajaran-pembelajaran berlaku dengan berkesan.

Mengarah

Dalam pengurusan bilik darjah, para guru tidak dapat lari dari memimpin dan memberi arahan. Guru perlu menonjolkan dirinya sebagai seorang pengarah yang berjaya dan berkesan bagi memastikan bilik darjah yang dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran benar-benar memberi erti kepada muridmurid yang diajarnya.

Field (2004) menyamakan peranan guru dengan peranan kapten sebuah kapal. Menurut beliau, bilik darjah boleh disamakan dengan sebuah kapal di mana guru adalah juru kemudi yang memimpin sekumpulan murid-murid yang mempunyai pelbagai personaliti. Kejayaan kepimpinan guru akan menentukan kejayaan sesebuah organisasi kecil yang dipimpinnya.

Mengawal

Kebolehan atau kemahiran mengawal yang dimiliki oleh guru turut memberi peranan yang besar dalam menjayakan misi mencapai target atau objektif pembelajaran. Keupayaan seorang guru untuk mengawal bilik darjahnya dari sebarang salah laku disiplin adalah satu kejayaan yang tidak kurang hebatnya. Tidak sedikit usaha yang dijalankan bagi mengawal bilik darjah benar-benar kondusif dan selesa bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.

Pembelajaran yang bermakna selalu dikaitkan dengan kualiti kepimpinan guru sarna ada berjaya mengawal dan mendorong, bertindak sebagai perujuk dan berkebolehan mempengaruhi pelajar untuk berusaha mencapai sesuatu objektif umpamanya objektif pembelajaran.

Guru juga dikaitkan dengan orang yang berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan membentuk strategi bagi mencapai tujuan. Oleh itu, guru harus berkebolehan dan berupaya menukar tindakan atau sikap agar sesuatu matlamat tercapai.


No comments:

Post a Comment