Sunday 2 November 2014

PENGURUSAN BILIK DARJAH 1

PENGURUSAN BILIK DARJAH 1

 Konsep Bilik Darjah

Semasa di sekolah, para guru menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam bilik darjah. Pernahkah kita terfikir apa itu sebenarnya bilik darjah? Besar kemungkinan ada yang akan mengatakan bahawa bilik darjah ialah bilik guru mengajar dan murid belajar. Ya, itulah gambaran paling mudah tentang bilik darjah. Ia merupakan tempat proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh seorang guru. Menurut Akta Pendidikan, murid atau pelajar merupakan seseorang yang menerima pendidikan atau latihan. Guru pula bermakna seseorang yang:

(a)    Mengajar murid-murid di sekolah atau di institusi pendidikan,

atau

(b)   Menyediakan bahan pelajaran atau menanda skrip jawapan di sesebuah sekolah gaya pos.

Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran sebab ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.

Menurut Marland (1975), suasana fizikal dalam bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Susunan fizikal bilik darjah boleh memberi sumbangan dari segi kawalan, pembelajaran, perhubungan guru dan murid, juga antara murid dengan murid dan keseronokan bekerja bersama-sama.

Konsep Pengurusan Bilik Darjah
           
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pelajaran dalam bilik darjah dapat berjalan dengan lancar walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada timgkah laku murid. 
Ramai yang mengatakan pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang paling sukar. 36% guru di Amerika menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadi guru sekiranya mereka tahu akan menghadapi masalah dalam pengurusan bilik darjah. (laporan Pertubuhan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981).

Malah Maskowitz dan Hayman (1976) pernah menyatakan sekali guru kehilangan kawalan ke atas bilik darjah, akan menjadi lebih sukar untuk dapat dikawal semula. Secara umumnya pengurusan bilik darjah bolehlah diumpamakan seperti “pengorkestraan kehidupan dalam bilik darjah: merancang kurikulum, mengorganisasi prosedur dan sumber, menyusun atur persekitaran untuk memaksimumkan kecekapan, memantau kemajuan pelajar, dan menjangka kemungkinan masalah.” (Lemlech, 1988).

Namun begitu pengurusan bilik darjah yang berkesan dan berjaya menurut Anderson (1989) ialah tingkah laku yang menghasilkan  penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti pembelajaran dan meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisen. 

Peranan Guru Dalam Pengurusan Bilik Darjah

Di dalam mengurus bilik darjah seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana bilik darjahnya bersifat kondusif dan selesa sesuai untuk dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurut Ee Ah Meng (1995), peranan guru adalah begitu rumit. Dia perlu mewujudkan suasana yang penuh kemesraan dan  kasih sayang di dalam bilik darjah. Seorang murid memerlukan kasih sayang. Seseorang guru yang cekap pengajarannya tetapi tidak berupaya menunjukkan kemesraan dan kasih sayang masih tidak dapat memenangi hati murid-muridnya.

a)      Seseorang guru perlu mempelajari atau mengenali tentang murid yang ada di dalam bilik darjahnya. Ia bukan sekadar mengetahui nama muridnya sahaja tetapi lebih dari itu ia perlu mengetahui latar belakang muridnya, tahu siapa ibubapa mereka serta mengenali mereka. Dengan memiliki maklumat ini, akan memudahkan bagi guru untuk merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

b)      Guru juga merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal bilik darjah mestilah menarik dan kondusif. Usah dipandang remeh soal lampu atau kipas yang tidak berfungsi, kerana ia sedikit sebanyak akan mengganggu tumpuan murid untuk menerima pelajaran. Begitu juga dengan hiasan bilik darjah dan soal kebersihan perlu diberi perhatian. Dan lebih penting ialah susunan atau susun atur bilik darjah mestilah sesuai kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru.

Kecekapan guru dalam mengurus penggunaan rutin di dalam bilik darjah akan menjamin kelancaran aktiviti-aktiviti seperti menanda jadual kedatangan, menyemak keadaan fizikal bilik darjah, mengeluar dan menyimpan bahan bantu mengajar, mengutip dan memulangkan buku latihan, mengutip yuran, menyediakan berbagai rekod, menguruskan Skim Pinjaman Buku Teks, Rancangan Makan Tambahan dan sebagainya. 

Dengan adanya rutin ini, segala aktiviti di dalam bilik darjah akan dijalankan dengan lebih teratur. Proses pembelajaran tidak akan terganggu dan proses pengajaran akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

c)      Bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjahnya, seseorang guru hendaklah merancang objektif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru, sebagai perancang hendaklah memikirkan objektif satu-satu pelajaran serta kaedah pengajaran yang akan digunakan. Guru hendaklah mengambil kira kebolehan dan minat murid-murid ketika membuat perancangan pengajaran. Di peringkat ini, guru juga merancang tentang cara menilai muridnya sama ada menggunakan ujian, lembaran kerja atau pun projek.

d)     Malah guru juga berperanan sebagai pegawai perhubungan awam semasa di dalam kelas apabila  berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga murid yang datang untuk bertanya tentang pencapaian  anak-anak mereka. Guru perlu melayan ibu bapa atau penjaga murid sebagai pelanggan yang inginkan  maklumat tentang pencapaian anak-anak mereka selepas sesuatu ujian atau peperiksaan diadakan.


e)      Terkini, guru perlu merefleksi akan amalan pengajaran dan pembelajaran yang telah  mereka jalankan bagi mencari kelemahan untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi supaya hasilnya benar- benar menepati objektif yang telah ditetapkan.

No comments:

Post a Comment