Thursday 22 September 2011

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian

Penempatan pertama – SK Engkeroh , Mongkos, Serian
Latihan perguruan tamat pada akhir tahun 1981. Majlis konvo dan ‘graduation night’ merupakan hari yang gembira bercampur sedih. Gembira kerana telah berjaya mengharungi latihan, sedih kerana berpisah dengan rakan-rakan, entah bila lagi akan bertemu. Masing-masing ditempatkan di merata ceruk negeri Sarawak.
Aku dan seorang rakan (Neddy) ditempatkan di SK Engkeroh, Serian. Aku melapor diri pada 02 Disember 1982. Perjalanan ke sekolah pada ketika itu agak sukar. Jalan Tebakang dan Mongkos masih lagi jalan batu dan tanah merah. Dari simpang Engkeroh ke sekolah berjalan kaki  memakan masa lebih 2 jam. Jalan denai kecil berbukit-bukau dan licin.  3 bulan selepas melapor diri, oleh kerana tidak tahan berjalan, aku pinjam duit  emak untuk beli sebuah motosikal scrambler.  Tentang scrambler ini akan ku ceritakan kemudian.
Untuk sementara kami menumpang di  sebuah rumah tumpangan di belakang gereja. Rumah itu kepunyaan gereja. Walaupun kecil ianya lengkap, ada bilik tidur, ruang  tamu dan dapur kayu.  Air disalir melalui paip graviti. Airnya jernih dan sejuk, sukar untuk mandi awal pagi kalau tidak dicampur dengan air panas.  Pelita merupakan sumber cahaya pada waktu malam.  Kehidupan bergerak begitu tenang dan ‘perlahan’ di daerah terpencil ini.
Aku beruntung kerana rakanku seorang pemuzik.  Dia boleh bermain biola dan piano.  Aku pula boleh bermain gitar. Ditambah dengan beberapa orang pemuda kampung, kami selalu ‘jamming’.  Suasana ini ‘mematikan’ kesepian.  Kadang-kala pemuda-pemudi kampung mengadakan majlis sosial  yang  dipenuhi dengan acara nyanyian dan tarian. Tugasku dalam majlis seperti ini ialah menyediakan radio dan bateri serta minyak gas untuk lampu.
Makanan mudah didapati. Sayur-sayuran hutan seperti midin, pucuk paku, rebung dan pelbagai jenis pucuk untuk ulaman sungguh banyak.  Ikan sungai sangat mewah, mudah dipancing atau ditembak dengan senapang ikan. Aku agak mahir dalam aktiviti mencari ikan kerana telah biasa sejak kecil. Sungai berdekatan sangat jernih, memudahkan untuk menyelam dan menembak ikan.  Sekali-sekala aku ikut memburu. Pelanduk mudah ditembak selepas orang kampung membakar huma kerana haiwan ini suka menjilat kayu yang telah hangus. Hidupku di sini seolah-olah  sama dengan zaman kanak-kanakku di kampung :  masuk hutan, memancing, memburu (dulu guna lastik, sekarang guna senapang patah) dan bermain di sungai.
Mengajar anak-anak kampung sungguh menyeronokkan. Aku ditugas mengajar kelas Darjah 1. Muridku seramai 13 orang. Pengambilan murid dibuat secara bergilir (alternate year), jika tahun ini ada Darjah 1, 3 dan 5 maka tahun depan ada Darjah 2, 4 dan 6.
Pada hari pertama , aku menyebut ‘Selamat pagi murid-murid’ … dan menjadi lucu apabila murid-muridku menjawab ‘Selamat pagi murid-murid’. Bila aku kata ‘Sila duduk’ … mereka jawab ‘Sila duduk’. Keadaan ini mungkin disebabkan ‘arahan’ ibu-bapa mereka supaya ikut apa yang cikgu cakap.  Keadaan agak kelam-kabut kerana aku belum mengerti berbahasa Bidayuh dan murid-muridku tidak tahu bahasa Melayu.  
Setelah 5 tahun berada di sana, mungkin aku boleh dianugerahkan ‘diploma’ dalam bahasa Bidayuh Sadong.  Sehingga ke hari ini, bila berjumpa dengan rakan dan kenalan Bidayuh dari Serian, kami akan berbual dalam bahasa Bidayuh.
Aku melaksanakan tanggungjawabku sebaik mungkin. Keempat-empat kami yang mengajar di Engkeroh adalah  anak muda, bersemangat dan bertenaga. Amat mengkagumkan bermula tahun 1983 dan tahun-tahun seterusnya  sekolah ini selalu menjuarai Kejohanan Sukan Zon Payau. Pencapaian murid dalam peperiksaan juga meningkat.
Terlalu cepat masa berlalu.  Baru-baru ini aku terserempak dengan seorang muridku. Terasa amat puas dan bersyukur bila dia memberitahuku bahawa  4  orang daripada kelas yang aku didik di SK Engkeroh berjaya mendaki menara gading. Aku berharap dan berdoa semoga yang lain juga berjaya dalam kehidupan masing-masing.

No comments:

Post a Comment