Monday 10 October 2011

Konvokesyen

Konvokesyen
Syukur Alhamdulillah ..
Konvokesyen adalah hari bersejarah dalam hidup kita. Konvo untuk ijazah pertamaku telah 20 lebih tahun berlalu di DTSP, USM Pulau Pinang. Aku rasa bertuah kerana dapat menggenggam segolong ijazah. Segalanya mungkin kerana pengorbanan diiringi doa ibu-bapa dan keluarga .. Alhamdulillah.
Pada 26 September 2011 sekali lagi aku menghadiri majlis konvokesyen. Kini ia adalah konvokesyen anakku (Muhd Nadhir bin Hassan) yang telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian (Geologi) daripada UKM. Alhamdulillah , syukur kepada ALLAH SWT, semoga ijazah ini akan menjadikan anakku insan yang berguna, berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat .. amin.
Isteri, aku dan dua orang lagi cahaya mataku (Muhd. Nazri dan Muhd. Hisyam) bersama seorang kakak iparku (yang membantu memelihara anak-anak sejak mereka kecil)  hadir untuk meraikan majlis penuh bermakna ini di UKM, Bangi. Jam 6 pagi kami sudah bertolak daripada hotel dan keadaan sesak apabila menghampiri UKM.  Wajah-wajah gembira yang ku jumpai di sekitar DECTAR , UKM membuat aku sangat teruja.
Ketika isteriku  mengemas jubah konvo anaknya, mengingatkan aku bagaimana dia mengemas budak itu dengan penuh kasih-sayang ketika kecil.  Anak ini anak sulung, manja dengan ibunya, segala rasa.. ibunyalah tempat dia mengadu.  Namun aku juga pasti bahawa anak ini tahu aku sangat mengasihinya dan amat bangga dengan pencapaiannnya. Aku berharap anak ini akan menjadi contoh buat adik-adiknya.
Saat anakku menaiki pentas dan mendapat skrollnya daripada Chanselor UKM , DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, kulihat air mata mengenang di mata isteriku. Terasa pengorbanan selama ini tidak sia-sia. Semoga ini menjadi perangsang buat Muhd. Nazri dan Muhd. Hisyam, insyaallah ..
Syukur Alhamdulillah … mudahan-mudahan anak dan keluargaku sentiasa dalam peliharaanMu.

No comments:

Post a Comment