Monday 14 November 2011

Muara Tuang 1986

SMK Muara Tuang  1986
1986 .. Muara Tuang hanya perkampungan kecil, dua deret kedai dan beberapa buah bangunan kerajaan.  Bila aku diarahkan melapor diri di SMK Muara Tuang  aku ingatkan sekolah itu berada di Muara Tuang. Rupa-rupanya  ia terletak berdekatan sebuah kampung Iban bernama Merdang Lumut. Jalan daripada Pekan Batu Tujuh memakan masa lebih-kurang 20 minit. Ketika itu kiri-kanan jalan hanyalah kebun dan belukar. Jauh bezanya dengan suasana sekarang.  
Aku datang seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.  Permohonanku untuk mendapat sebuah tempat tinggal dilulus oleh Tuan Pengetua (En. Arthur Chiew).  Tempat tinggalku merupakan bilik pembantu rumah di belakang banglo pengetua. Agak sempit namun selesa. Ketika itu Tuan Pengetua tidak tinggal di banglo berkenaan. Penghuni banglo adalah 2 orang guru bujang ( Cikgu Suut dan Cikgu Hamdi).  Pada waktu persekolahan banglo itu menjadi ‘rumah hinggap’  guru-guru yang tidak tinggal di kawasan sekolah.
Mesyuarat staf yang pertama membuat aku agak bingung. Dulu (ketika di Engkeroh kadang-kadang mesyuarat di bawah pokok sahaja) bilangan korumnya hanya  4  orang , ditempat baru ini stafnya lebih 100 orang.  Ramai orang  maka pelbagailah kerenahnya.  Mesyuarat memakan masa agak panjang dan banyak perkara yang aku tidak / kurang faham. Bermula dengan mesyuarat itu aku mendapat ramai rakan baru yang kelaknya banyak membantu dalam mengharungi kehidupanku sebagai guru sekolah menengah.
Di  SMK Muara Tuang aku mengajar Sejarah dan Bahasa Inggeris  Tingkatan 1 dan 2.  Aku menjadi Guru Tingkatan bagi Tingkatan 1C.  ‘The first is always special’ .. pelajarku di Tingkatan 1C sentiasa mendapat tempat yang ‘istimewa’ dalam hati dan ingatanku. Aku telah berjumpa dengan beberapa orang bekas pelajarku, 2 orang kini bekerja bersamaku di IPGKTAR, seorang  menjadi pegawai tadbir di Pejabat Residen Samarahan, beberapa orang menjadi guru di sekitar Samarahan, ada juga yang berjaya dalam bidang  professional, pertanian, keusahawanan dan perniagaan .. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment