Thursday 17 November 2011

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..

Bahagian ke 2 : Aku dan motosikal ..
Perpindahan ke Muara Tuang mengubah pilihan motosikalku. Aku kini tertarik kepada motosikal ‘sport’. Kelajuan dan bentuk yang ‘sporty’  sesuai untuk melaram di sekitar Kuching dan Muara Tuang.
Motorsikal sport pertamaku ialah Sazuki RG 125.
Aku membelinya di sebuah kedai motosikal berdekatan Hospital Umum Sarawak.  Walaupun hanya berkeupayaan 125 cc., mesin ini kelihatan sporty. Ketika itu tidak ramai yang memiliki motosikal seperti ini. Ia menjadi perhatian para pelajar ketika itu. Baru-baru ini aku ketemu seorang bekas pelajarku, diantara bahan perbualan kami ialah motosikal ini. Dengan nada berjenaka  bekas muridku ini berkata aku kelihatan ‘hebat’ apabila menunggang motosikal dan ramai pelajar perempuan ingin sekali menjadi pembonceng. Katanya lagi .. macam Jamal Abdillah dalam cerita Azura.


Sazuki RG 125

 
Di akhir tahun 1986 aku tertarik dengan model Honda VTR 250.  Mesin ini lebih ‘powerful’ dengan enjin empat strok 250 cc.  Motosikal ini juga aku beli di kedai berdekatan Hospital Umum Sarawak  secara ‘trade-in’.  Mula-mula aku ingin membeli Yamaha RD 350 tetapi motosikal itu besar, sesuai untuk penunggang berbadan besar.  Kata rakanku , kalau aku menunggang Yamaha RD350 , kelihatan macam ‘katon’.


Honda VTR 250

Yamaha RD 350



Pada penghujung tahun 1986 , aku dipanggil oleh Allahyarham Cikgu Sahari Ahmad (ketika itu arwah adalah Pengetua SMK Muara Tuang) ke pejabat. Arwah memaklumkan bahawa aku diarah berpindah ke SMK Santubong menjawat jawatan Pengetua.
Aku datang ke SMK Santubong menunggang motosikal.  Ketika itu jambatan Santubong belum siap. Jika ingin ke seberang aku kena menaiki ‘feri’(bot yang ubahsuai seperti feri kecil, boleh memuatkan sekitar 10 orang penumpang dan 2 buah motosikal) di Rampangi. Aku tidak mempunyai pengalaman menaikkan motosikal ke dalam bot maka aku minta tolong tuanpunya bot. Terkial-kial juga mereka kerana saiz motosikal yang agak besar.
Bila sampai ke sekolah, kerani dan staf yang ada di pejabat sekolah ketika itu kelihatan terkejut apabila aku maklumkan bahawa aku datang melapor diri sebagai Pengetua. Beberapa bulan kemudian, En. Sidi (ketua kerani) memberitahu aku, memang mereka terkejut melihat penampilanku ketika itu .. dengan topi keledar ‘fullface’ berjaket kulit hitam.
Motosikal ini ku simpan di ‘banglo’ Pengetua sahaja. Aku masih lagi ‘seram’ membawanya menaiki feri.  

No comments:

Post a Comment